Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh

KUALA LUMPUR – China paling besar mengimport sarang burung walit dari Malaysia, berbanding Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia, kata Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau berkata, pengeksportan sarang burung walit ke negara itu merekodkan 96.5 tan metrik setahun dengan nilaian kira-kira RM283 juta.

Katanya, antara diminati China ialah sarang burung walid mentah yang di proses, tanpa proses dan telah diproses serta dikeluarkan dalam bentuk produk yang boleh terus dimakan.

“Setakat ini kerajaan telah meluluskan sebanyak 41 syarikat yang bekerjasama dengan General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC).

“Daripada 41 itu, tiga syarikat mengeskport sarang burung walit mentah tanpa proses, 36 syarikat mengeksport sarang burung walit mentah yang telah diproses dan dua syarikat untuk produk sarang burung walit yang dieksport.

“Semua permohonan ini adalah melalui Veterinar Malaysia dan dikemukakan permohonan ini kepada GACC,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya memberi galakan rakyat mengusahakan pengeluaran sarang burung walit dengan pengusaha menyediakan pinjaman mudah kepada mereka.

Katanya, bagi peringkat kerajaan pula mengadakan hubungan dagangan yang erat antara negara termasuk Australia dan China yang memerlukan sarang burung walit dalam jumlah banyak.

“Kita menggalakkan pemain industri sarang burung walit ini mencipta pelbagai produk dari bahan kerana ia memberi pulangan berganda kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette