Syed Mohd Shahriman (dua dari kiri) dan Meor Mohd Hilmi (dua dari kiri) menunjukkan sepanduk siasatan Kertas Pandora selepas membuat laporan polis di IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Isu Pandora Papers yang menggemparkan minggu terakhir persidangan Parlimen, telah menarik perhatian Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bagi merungkaikan isu yang terpalit sejak sekian lama itu, Wira Putra diketuai Naib Ketuanya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau bersama Ketua Penerangan Wira Putra Malaysia, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun membuat laporan itu kira-kira jam 11.30 pagi untuk mendesak polis membuka kertas siasatan.

Menurut Syed Mohd Shahriman, sayap parti itu juga mendesak kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu yang didedahkan oleh International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ) baru-baru ini.

“Kita mahu RCI bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kita mahu mereka menyiasat nama yang didedahkan sama ada terdapat salah laku mahupun penyelewengan dilakukan sepanjang tempoh aliran tunai dan pelaburan ke akaun persisir yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut laporan Global Financial Intergrity (GFI), Malaysia merupakan antara lima negara yang mempunyai aliran keluar wang haram yang tinggi di dunia.

Syed Mohd Shahriman berkata, bagi membersihkan nama baik dan reputasi negara, amat perlu RCI ditubuhkan untuk meningkatkan pengukuhan ekonomi negara dengan lebih baik.

Secara tidak langsung, katanya, ia menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai “Good Governance” dan tidak berkompromi dengan isu aliran wang haram ini dan usaha itu bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara bagi terus melabur dengan konsisten dalam negara.

“Wira Putra Malaysia memohon polis membuka kertas siasatan bagi isu ini dan turut mendesak kerajaan menjalankan siasatan secara telus, berintegriti dan tidak takut bagi menegakkan kebenaran.

“Ini supaya rakyat serta dunia melihat kerajaan Keluarga Malaysia ini serius dalam menangani isu yang telah didedahkan oleh pihak ICIJ dalam laporan Pandora Papers,” katanya. – MalaysiaGazette