Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menggunakan saluran diplomasi untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku antara kerajaan baharu Sudan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Ketika mengemukakan cadangan itu, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Kementerian Luar Negeri perlu memainkan peranannya.

Katanya, kementerian itu boleh berhubung dengan negara Islam yang mempunyai kerjasama baik dengan Sudan sebagai pihak ketiga bagi mengharmonikan isu antara kedua negara.

Beliau berkata, langkah dan penyelesaian efektif diperlukan memandangkan ia bukan sahaja melibatkan aset Petronas, tetapi juga hubungan antara dua negara serta nasib rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Malaysia ini sebuah negara terbuka yang mengambil sikap berbaik dengan semua negara, jadi kita tidak mahu sesuatu yang boleh memburukkan hubungan antara Malaysia dan Sudan.

“Kerajaan Sudan patut menghargai jasa Malaysia yang banyak melabur dan membantu negara itu sejak sekian lama serta masyarakatnya dibantu dari sudut pendidikan, kebajikan dan sebagainya,” katanya.

Rabu lalu, Wisma Putra telah memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur untuk menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap isu berkaitan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan.

Beberapa media melaporkan, kerajaan peralihan Sudan berhasrat untuk merampas aset milik syarikat minyak Malaysia, termasuk kompleks itu.

Dalam satu kenyataan pula, Wisma Putra menggesa kerajaan Sudan untuk menghormati ‘Bilateral Investment Promotion and Protection Treaty’ yang disepakati antara Malaysia dan negara itu.

Menurut kenyataan itu, kompleks berkenaan turut menempatkan Kedutaan Malaysia dan meminta kerajaan Sudan supaya tidak mencemari premis diplomatik seperti yang diperuntukan bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Kementerian Luar telah bekerjasama erat dengan Petronas, termasuk melalui Kedutaan Malaysia di Khartoum untuk menyelesaikan isu berkenaan sejak ia tercetus pada Disember 2020. – MalaysiaGazette