Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 15 kluster baharu Covid-19 dengan sembilan daripadanya membabitkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua lagi kluster membabitkan pendidikan dan komuniti manakala masing-masing satu kluster melibatkan keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, penemuan terbaharu itu menjadikan bilangan kluster Covid-19 yang ditemui di negara ini sebanyak 5,687 kluster.

“Terdapat sebanyak 656 kluster yang masih dikategorikan aktif namun, sebanyak 5,031 kluster telahpun ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan semasa Covid-19, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan, jangkitan baharu wabak tersebut dalam tempoh 24 jam lalu adalah sebanyak 5,434 kes.

Daripada jumlah itu sebanyak 5,429 kes adalah penularan tempatan manakala lima lagi kes import.

Katanya, jumlah kes baharu itu menyaksikan sebanyak 5,283 kes atau 97.2 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua serta bakinya 151 kes lagi atau 2.8 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

Noor Hisham turut memberitahu, terdapat 682 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 357 daripada memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagi kes sembuh baharu adalah sebanyak 8,435 kes, ujarnya. – MalaysiaGazette