UTeM diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Industri dan Komuniti), Prof. Madya Ir. Dr. Md. Nazri Othman (kanan) dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Dr. Isma Addi Jumbri (kiri).

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangka kerjasama strategik program berkaitan teknousahawanan bersama Hatten Land Limited.

Ia dirangka selepas majlis menandatangani surat niat (LoI) yang diadakan secara maya baru-baru ini.

UTeM diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Industri dan Komuniti), Prof. Madya Ir. Dr. Md. Nazri Othman dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Dr. Isma Addi Jumbri.

Hatten Land Limited pula diwakili oleh Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land Limited, Datuk Colin Tan Jung Peng serta disaksikan oleh Victor Ng iaitu Pengerusi The Medici Watermark Sdn. Bhd (TMW) serta Pengarah TMW, Aikihiro Yamamoto.

Md. Nazri berkata, kerjasama strategik antara universiti dan industri yang melibatkan Malaysia dan Singapura itu berupaya meningkatkan lagi kepakaran staf dan memberikan manfaat kepada pelajar dan juga alumni.

Jelas beliau, kerjasama strategik turut memperluaskan dimensi usahawan dan syarikat pemula (startup) kerana ianya memudahkan urusan berkaitan sewaan premis dan membolehkan mereka lebih berfokus kepada pembangunan produk atau perkhidmatan yang lebih menguntungkan.

“Antara lain medan ini turut membuka ruang dan peluang buat staf UTeM terlibat sama dalam perundingan dan pemindahan ilmu serta teknologi secara langsung kepada komuniti terutama sekali para usahawan,” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.

UTeM merangka kerjasama strategik program-program berkaitan teknousahawanan bersama Hatten Land Limited menerusi majlis menandatangani surat niat (LoI) yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Isma Addi pula berkata, jalinan itu menjadi langkah awal dan lebih bersepadu mengangkat CREATE UTeM ke tahap global dan terus dinamik dalam menjayakan hubungan kerjasama bersama pihak luar yang bertepatan dengan visi dan misinya.

Katanya, platform yang sama turut merangsang kerjasama bersepadu antara TMW dan CREATE untuk menjalankan penganjuran program bersama bertaraf antarabangsa berkaitan teknousahawanan dan perniagaan yang memberikan manfaat kepada para usahawan dan juga warga UTeM terutama sekali para pelajar dan alumni.

Sementara itu pada masa yang sama, Colin berpandangan, kerjasama semestinya akan menyerlahkan impak ruang kerja bersama antara usahawan dengan UTeM melalui projek Hatten yang dikenali sebagai PRIME 53.

“PRIME 53 berfungsi sebagai platform buat perusahaan Singapura dan Malaysia untuk berkolaborasi serta mendorong kepada skala ekonomi yang lebih besar dan mencipta idea perniagaan baru,” katanya.

TMW merupakan anak syarikat Hatten Land Limited yang berfokus kepada penilaian dan pencarian peluang baru dengan mengabungkan hartanah dengan ekonomi digital dan bersesuaian dengan UTeM yang terkenal dengan bidang teknikal dan teknousahawanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast