Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, mengulangi ketegasan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah keputusan parti.

Presiden UMNO itu berkata, ia merupakan keputusan akar umbi parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan juga oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya ulangi penjelasan UMNO menolak kerjasama politik dengan PPBM merupakan keputusan parti.

“Ia keputusan akar umbi parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan juga oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Ia sebuah ketetapan yang telah pun dimuktamadkan sejak kira-kira tujuh bulan lalu iaitu pada Mac 2021,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, PPBM bukan tidak maklum mengenai itu, namun menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengadu domba konon ia keputusan solo Presiden UMNO.

Katanya, mengapa PPBM begitu sukar menerima hakikat bahawa ahli UMNO bertegas menolak PPBM?

“Mungkinkah begitu terdesak mahu mempergunakan ahli UMNO sekali lagi seperti mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14)?

“Memperdaya segelintir ahli UMNO menyokong PPBM dengan “kempen” PPBM mahu menyelamatkan UMNO.

“Tetapi selepas apa yang rakyat alami dan saksikan selepas 9 Mei 2018, masih lakukah lakonan air mata mereka?,” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan, masih relevankah pujuk rayu ke atas ahli UMNO selepas cuba membubarkan dan menghancurkan UMNO sejurus berkuasa?

Justeru, katanya, beliau menghormati keputusan parti dan denyut nadi ahli UMNO iaitu tiada kerjasama politik dengan PPBM. – MalaysiaGazette