Dr. Asyraf (dua dari kanan) bersama Yusmi (kiri) dalam pertemuan tidak sengaja di Sepang ketika membantu mangsa banjir.

KUALA LUMPUR – Tidak semua kepimpinan Pas bersetuju parti itu bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) dan meninggalkan Muafakat Nasional (MN).

Perkara itu dinyatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi mengenai luahan hati kepimpinan Pas Kawasan Sepang dekat sini semalam.

Beliau bertemu secara tidak sengaja dengan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Sepang, Yusmi Hanif dalam aktiviti membantu penduduk kampung di Sepang yang dilanda musibah banjir.

“Dalam pertemuan itu, Yusmi meminta saya memberitahu kepada kepimpinan atasan UMNO supaya kukuhkan kembali MN. Mereka di peringkat akar umbi menyokong penuh,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Kata Dr. Asyraf Wajdi, luahan itu disampaikan Yusmi itu sekali gus menunjukkan akar umbi lebih menerima MN antara Pas dengan UMNO, berbanding parti itu dengan PN.

“Demikianlah rata-rata sentimen akar umbi, tidak kira UMNO atau Pas di peringkat bawahan lebih selesa bersama setelah hampir 22 bulan menggerakkan agenda muafakat hingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional di atas linangan air mata,” katanya.

MN termeterai pada 14 September 2019, yang menyaksikan gabungan dua parti terbesar orang Melayu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Piagam MN ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengandungi enam perkara termasuk memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. BIAR PEMIMPIN² DENGAN KESOMBONGAN MEREKA NAMUN AKAR UMBI UMNO DAN PAS AKAN TETAP AKAN MEMPERATKAN MUAFAKAT NASIONAL DEMI AGAMA BANGSA DAN TANAHAIR

Comments are closed.