KUALA LUMPUR – UMNO menasihatkan seluruh ahli dan rakyat khususnya membuat keputusan yang bijak dalam memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bendaharinya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, ini berikutan, selepas lebih 60 tahun UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, tiba-tiba negara tidak lagi stabil selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU-14.
“Saya berharap ahli UMNO dan rakyat tidak lupa dengan PRU-14 lalu apabila kerajaan baharu (PH) menggantikan UMNO dan BN, yang natijahnya sehingga kini negara tidak stabil.
“Pihak pembangkang iaitu PH sebelum menang PRU-14 hanya menggunakan pemimpin tertentu sebagai boneka mereka untuk mendapatkan kuasa.
“Saya bukan beretorik. Renungkan selama lebih 60 tahun UMNO dan BN menerajui kerajaan, apa yang rakyat telah lalui dan bandingkan dengan apa yang berlaku lebih dari tiga tahun dalam kerajaan-kerajaan baharu yang mentadbir sebelum ini,” katanya.
Beliau yang dikenali sebagai Ku Nan berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Bunga Matahari di Putrajaya malam tadi.
Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sepanjang tempoh tiga tahun ini, rakyat mengeluh kerana ketidakstabilan politik.
Katanya, dalam tempoh itu sehingga kini, sekurang-kurangnya ada tiga perdana menteri iaitu dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan sekarang BN bersama gabungan sedia ada.
Ujar beliau, dari sebelum PRU 14-lagi, kepimpinan UMNO sudah mengingatkan rakyat dan ahlinya berhati-hati kerana pembangkang ketika itu akan cuba sedaya upaya dengan tipu helah dan fitnah untuk memburukkan parti keramat orang Melayu.
“Cukuplah 22 bulan PH mentadbir, pelbagai permasalahan berlaku, namun mujurlah mereka (memerintah) tidak lama. Demikian juga dengan kerajaan sementara yang kini telah berganti, kestabilannya juga belum ada.
“Kerana itu, saya rayu ahli akar umbi, tolong ingat kembali apa yang berlaku dalam pilihan raya lalu. Kesannya sehingga sekarang ramai hilang kerja yang berpunca daripada kesilapan memilih kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette