Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCM), Tan Sri Musa Hassan bergambar bersama barisan kepimpinan selepas sidang media mengenai masalah laporan polis yang dibuat oleh orang awam lambat mendapat tindakan pihak berkuasa di Alam Damai, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Banyak aduan daripada orang ramai berkenaan kelewatan siasatan polis terhadap laporan yang telah dibuat.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata,  berikutan itu pihaknya mengambil pendekatan dengan mewujudkan talian hotline bagi memudahkan proses masyarakat menyalurkan sebarang maklumat terutamanya jika mereka menjadi mangsa kes jenayah.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Negara itu kemudiannya menjelaskan, pasukan keselamatan itu perlu mengutamakan kes-kes penting yang lain sebelum menguruskan laporan yang telah dibuat oleh penduduk setempat.

“Kadang-kadang pihak berkuasa banyak kes yang perlu disiasat, berkemungkinan apabila terlampau banyak kes kerana fokus mereka bukan satu kes sahaja, mungkin ada yang tidak diambil tindakan atau lewat diambil tindakan oleh kerana beban kerja pihak berkuasa tadi.

“Apabila berlaku begitu, mereka (orang ramai) merungut, kalau tidak ada orang yang beri penerangan mereka ini akan pandang buruk kepada pasukan jadi saya di sini untuk membantu,” katanya menerusi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCCC di Alam Damai di sini hari ini.

Tambah Musa, kewujudan MCCC bertujuan mengeratkan kerjasama antara masyarakat dan polis supaya pasukan keselamatan itu sentiasa dipandang positif sekali gus menaikkan tahap integriti.

Justeru, beliau berkata, MCCC sentiasa mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi pertubuhan tersebut jika berdepan dengan sebarang masalah dan mencari jalan penyelesaian.

Katanya lagi, sejak penubuhan MCCC pelbagai aduan telah diterima dan berjaya diselesaikan antaranya kes membabitkan penipuan kewangan, mangsa jenayah serta gangguan seksual.

“Ini adalah kita punya tanggungjawab untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menangani jenayah dalam negara ini,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan kes jenayah boleh menghubungi talian hotline MCCC di 019-7782521/019-5562521. – MalaysiaGazette