Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Pas seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada meletakkan calon bertanding di kerusi milik UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi dominan kepada parti tertentu akan diberi laluan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Kita sebolehnya mahu mengelak bertembung sesama sendiri dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan UMNO, sebaliknya Pas akan tumpu kepada DUN yang belum dimenangi mana-mana parti.

“Tidak kiralah walaupun Pas hanya dapat lima kerusi, asalkan kita bersama dalam Perikatan Nasional (PN) dan memberi keutamaan kepada parti dominan bertanding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pas Selangor di sini, malam tadi.

Bangunan yang diduduki sejak 11 tahun lalu itu dibeli dengan harga RM1.3 juta dan kini menjadi aset milik penuh Pas Selangor.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau ada berbincang dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini berkenaan dengan kedudukan kerusi.

Katanya, dalam perbincangan itu, mana-mana kerusi DUN yang UMNO tidak menang pada pilihan raya lalu, Pas akan letakkan calonnya bertanding.

“Dengan syarat, UMNO tidak bertanding di situ dan semua parti berkompromi. Tetapi, jika tidak dapat dielak (UMNO tolak kerjasama dengan PN), kita terpaksa (berlawan),” katanya. – MalaysiaGazette