Zamani Ibrahim

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa mengambil inisiatif membentang dan mencadangkan belanjawan berwibawa untuk membantu kerajaan menterjemahkan pentadbirannya berslogankan ‘Keluarga Malaysia’.

Justeru, parti itu dengan buku belanjawan bertemakan ‘Rakyat dijaga, Watan terpelihara, menampilkan tujuh teras utama merangkumi lebih 100 cadangan bagi kerajaan mengemudikan negara sepanjang 2022.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan belanjawan alternatif untuk tahun kedua dilancarkan Berjasa, dengan tahun lepas mengambil kira aspek pemulihan akibat pandemik Covid-19.

“Mengambil kesempatan pembentangan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen esok, parti Berjasa mengambil inisiatif membentang dan mencadangkan belanjawan berwibawa bertemakan “Rakyat Dijaga, Watan Terpelihara”.

“Ini merupakan belanjawan alternatif Berjasa untuk tahun kedua yang kita lancarkan. Tahun lepas, belanjawan kita mengambil kira aspek pemulihan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Bajet 2022 di Parlimen Jumaat ini.

Bajet 2022 juga memberi tumpuan utama untuk melindungi, memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan, selain membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pascapandemik yang lebih mampan.

Buku Belanjawan Berwibawa 2022 parti Berjasa yang menampilkan tujuh teras utama untuk membangunkan rakyat dan negara.

Kata Zamani, tujuh teras yang dirangka parti itu ialah pemulihan dan kebajikan rakyat pasca pandemik, kesiapsiagaan watan, kelestarian watan, integriti watan, identiti watan, inovasi teknologi dan keselamatan watan.

Jelas beliau, tujuh teras utama itu ditampilkan Berjasa selepas melihat prestasi ekonomi semasa dan unjuran ekonomi ke hadapan agar rakyat terus dijaga dan terpelihara.

“Keadaan negara pasca pandemik ini banyak yang perlu diambil kira untuk dibangunkan, bukan hanya mengambil kira kepentingan pihak tertentu.

“Atas sebab itu, kita mencadangkan tujuh teras utama belanjawan ini kepada kerajaan bagi memastikan ekonomi negara kembali stabil dan terus mampan,” katanya.

Kata Zamani lagi, antara cadangan parti itu dalam buku belanjawan berkenaan ialah peruntukan RM200 juta untuk bantuan kos operasi sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat.

Parti itu juga mencadangkan pelaksanaan Cukai Keuntungan Luar Biasa terhadap syarikat berkeuntungan besar terutama di musim pandemik yang memperlihatkan keuntungan berkali ganda

Selain itu, katanya, elaun sara hidup nelayan perlu dinaikkan RM500 sebulan untuk memastikan kelangsungan hidup mereka dan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan diteruskan kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 dan T20.

“Kita juga mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat pekerjaan di kawasan yang mempunyai kadar pengangguran yang tinggi dan memberi subsidi gaji kepada SME yang mengambil mereka sebagai pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette