Seorang kontraktor dan dua buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengambil balak di tanah milik kerajaan di Pekan, dekat sini minggu lepas.

KUANTAN – Seorang kontraktor dan dua buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengambil balak di tanah milik kerajaan di Pekan, dekat sini minggu lepas.

Pengakuan Muhammad Saffrin Ahmad, 36, Ahmad Mustaim Muhamad, 30, dan Muhammad Taufik Hidayah Talib, 39, direkodkan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majib.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan membawa 43 tual balak dari hutan di Kampung Perlak, Mukim Penyor di Pekan tanpa lesen yang sah pada 3.30 petang 21 Okt lepas.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diguna pakai di Pahang yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi merayu jaminan RM20,000 seorang kepada ketiga-tiga anak guamnya dikurangkan atas alasan pendapatan kesemua tertuduh hanya sekitar RM3,000 ke RM1,500 dan digunakan untuk menanggung keluarga.

Shahrul Rizal membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 18 Nov ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Afidatul Azwa Kamarulanuar.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast