KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang dan orang awam yang mempersoalkan penguatkuasaan larangan penjualan arak di sekitar ibu kota perlu memahami istilah minuman keras memabukkan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kritikan atau provokasi.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan, pemahaman terhadap isu berkenaan serta jenis minuman keras yang dilarang adalah penting dan perlu diteliti sebaiknya, sekali gus mengelak berlakunya salah faham.
“Pertama, teliti minuman keras yang mendapat kelulusan atau kebenaran dari Kementerian Kesihatan (KKM), dan kedua minuman keras yang tidak dibenarkan.
“Minuman keras yang tidak ada kebenaran KKM sama sekali tidak boleh dijual di mana-mana premis dalam kawasan Kuala Lumpur dan hanya minuman yang ada lesen KKM boleh dijual termasuk di kedai perubatan Cina.
“Ini sudah berlaku sejak sekian lama,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi turun padang ke kawasan Parlimen Cheras, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian susulan tindakan tujuh Ahli Parlimen pembangkang mengeluarkan kenyataan dan mendakwa kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan sekatan kepada pengambilan dan penjualan minuman keras kepada masyarakat bukan Islam.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, DBKL hanya melakukan penguatkuasaan dan tidak pernah melarang penjualan minuman keras seperti dakwaan pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Ia melibatkan arak yang tidak mendapat lesen KKM. Apa yang lebih malang apabila Ahli Parlimen ini menggunakan isu tersebut untuk mengatakan kerajaan tidak memberikan pertimbangan dalam soal hak yang berkaitan dengan orang bukan Islam seperti kaum Cina dan India.
“Saya nak jelaskan ini tidak betul. DBKL tidak pun melarang dalam mendapatkan lesen penjualan minuman keras.
“Apa yang kita lakukan adalah penguatkuasaan untuk semua pelesen mengikut syarat ditetapkan DBKL,” katanya.
Terdahulu, penguatkuasaan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) dilakukan di Kuala Lumpur bermula Isnin lalu selepas DBKL mendengar pandangan serta keprihatinan pihak terlibat termasuk Ahli Parlimen berhubung isu berkenaan. – MalaysiaGazette