KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) bakal mempertahankan kesemua lapan kerusi yang dimenanginya sebelum ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, daripada jumlah itu, hanya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menampilkan dua calon baharu iaitu Pengkalan Batu dan Bandar Hilir.
“Kerusi N15 Pengkalan Batu yang dimenangi Datuk Norhizam Hassan Baktee akan digantikan dengan calon baharu DAP iaitu Muhamad Danish Zainudin.
“Bagi kerusi N22 Bandar Hilir, DAP menampilkan seorang lagi calon baharu iaitu Leng Chau Yen,” katanya pada sidang secara langsung di Facebook Live Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Selain itu, enam lagi kerusi DUN yang dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu akan dipertahankan parti itu dalam PRN Melaka.
Antaranya kerusi N07 Gadek (Saminathan Ganesan), N16 Ayer Keruh (Kerk Chee Yee), N19 Kesidang (Allex Seah Shoo Chin), N20 Kota Laksamana (Low Chee Leong), N21 Duyong (Damian Yeo Shen Li) dan N24 Bemban (Tey Kok Kiew), katanya lagi. – MalaysiaGazette