Keadaan di Central Business District di Beijing yang berjerebu teruk. foto Reuters

BEIJING – Tahap penglihatan di Beijing kurang daripada 200 meter (219 ela) pada hari Jumaat ketika pencemaran udara menyelubungi ibu kota China itu hingga memaksa penutupan beberapa lebuh raya.

Beijing mengeluarkan amaran pencemaran berat pertama untuk musim luruh dan musim sejuk semalam, hingga larangan dikeluarkan bagi kerja-kerja pembinaan, operasi kilang dan aktiviti luar sekolah.

Penglihatan sangat terhad dengan bahagian atas bangunan tertinggi di bandar itu hilang dalam jerebu, lapor Reuters.

Wilayah perindustrian besar Beijing-Tianjin-Hebei sering mengalami asap tebal pada musim luruh dan musim sejuk, terutamanya pada hari tanpa angin.

Gelombang sejuk yang tiba dari Siberia pada hujung minggu dijangka menyuraikan pencemaran.

China mensasar untuk mengurangkan kepekatan zarah bawaan udara yang berbahaya dan kecil, dikenali sebagai PM2.5 pada purata 4% tahun ke tahun di bandar-bandar utama pada musim sejuk ini, kata Kementerian Alam Sekitar bulan lepas.

Paras PM2.5 di kawasan bandar mencapai setinggi 234 mikrogram setiap meter padu pada hari Jumaat, menurut Kedutaan Amerika Syarikat di Beijing, menunjukkan udara yang sangat tidak sihat.

Kempen keseluruhan musim sejuk 2021-22 China menentang pencemaran akan dilakukan di 64 bandar di seluruh kawasan perindustrian, yang terdedah kepada asap, kata kementerian itu pada bulan September.

China dijangka menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing dan bandar berdekatan Zhangjiakou pada 4 hingga 20 Februari tahun depan. – Reuters