Jam tangan G-SHOCK edisi terhad kedua yang diperkenalkan Casio G-SHOCK dan FAM sebagai penajuja kepada Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki.I-Ihsan FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama Casio G-Shock hari ini melancarkan jam tangan edisi terhad keduanya di Wisma FAM dekat sini semalam.

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta kedua-dua timbalan presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.

Casio pula telah diwakili oleh Pengarah Eksekutif Marco Corporation, Ong Sim Jeng dan Pengarah Urusan Casio Malaysia, Tezuka Itsuro-san.

Kerjasama pertama antara G-SHOCK dan FAM iaitu jam tangan GA-2000FAM-1A9 telah dilancarkan pada 31 Mac lalu dan ia disambut baik oleh penyokong bola sepak tanah air dan habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja pada hari pertama penjualannya pada 29 Mei lalu.

Bagi keluaran terbaharu G-SHOCK dan FAM kali ini, jam tangan GA-900FAM-1A9 didatangkan dengan reka bentuk G-SHOCK yang tahan lasak dan lebih bergaya sesuai mengikut citarasa peminat Harimau Malaya.

Ia juga memiliki jaluran Harimau Malaya yang ikonik melambangkan keghairahan rakyat Malaysia dalam sokongan mereka terhadap pasukan kebangsaan.

Selain itu, keluaran edisi terhad kedua ini direka dengan sedikit kelainan apabila ia memiliki cakaran harimau berwarna jingga di bahagian utas tali membawa makna simbolik keberanian serta barisan pemain yang membawa nama negara di mata dunia.

Bagi merancakkan lagi kempen pembelian jam tangan edisi terhad kedua G-SHOCK x FAM, Casio telah melancarkan permainan secara maya yang direka khas bagi peminat Harimau Malaya mendapatkan slot pembelian jam tangan berkenaan.

Menurut Hamidin, kerjasama kedua bersama CASIO dan G-SHOCK menunjukkan skuad bola sepak kebangsaan telah berjaya menarik perhatian serta mendapat sokongan tinggi daripada barisan penaja.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Casio Malaysia atas sokongan yang berterusan terhadap Harimau Malaya dan kepercayaan mereka terhadap pasukan kebangsaan telah sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan serta semangat para pemain.

“Saya yakin kempen G-SHOCK dan FAM edisi kedua ini juga akan disambut baik oleh rakyat Malaysia terutama sekali penyokong Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang, menyokong pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi Piala Suzuki AFF 2020 bakal bermula bulan hadapan.

“Skuad bola sepak kebangsaan perlu menjadikan sokongan daripada barisan penaja serta pemain ke-12, iaitu penyokong Harimau Malaya sebagai inspirasi untuk melakukan yang terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di Singapura nanti,” katanya dalam kenyataan selepas pelancaran tersebut.

Jam tangan edisi terhad kedua G-SHOCK x FAM dijual secara eksklusif menerusi slot pembelian menerusi permainan secara maya pada harga RM699.

Dengan setiap pembelian jam tangan itu, pembeli akan menerima sebuah kotak khas yang mengandungi pin peringatan, pelitup muka fabrik, pelekat vinil, kain tampalan yang disulam dengan ukiran Harimau Malaya serta pin enamel.

Sementara itu, Tezuka-san meluahkan rasa teruja untuk memulakan kempen pembelian G-SHOCK x FAM edisi terhad kedua ini.

Katanya, Casio ingin mendatangkan kelainan bagi merancakkan kempen pembelian jam tangan GA-900FAM-1A9 di mana peminat Harimau Malaya perlu menyertai permainan secara maya di laman web www.gshockpenaltykick.com.my bermula 10 November hingga pukul 11.59 malam 23 November ini untuk mendapatkan slot pembelian.

“Seramai 680 pemenang dari permainan berkenaan yang tersenarai di dalam papan pendahulu permainan akan diberikan keistimewaan untuk membuat pembelian jam tangan edisi khas kedua G-SHOCK x FAM ini di mana kami (Casio) akan menghubungi mereka selepas tempoh masa permainan secara maya itu tamat.

“Skuad Harimau Malaya merupakan kebanggaan Malaysia dan pasukan ini telah menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa mahupun agama di bawah slogan keramat ‘Malaysia Boleh’.

“Kami di Casio Malaysia juga turut berbangga kerana dapat meneruskan kerjasama bersama FAM sekali gus menyokong mereka sepenuhnya apabila skuad Harimau Malaya mengukir nama Malaysia di pentas dunia,” kata Tezuka-san.- MalaysiaGazette