pilihan raya PBT
Mike Chong Yew Chuan

AYER KEROH – MCA membidas tindakan Bendahari PKR, Lee Chean Chung yang mempersoalkan kredibiliti calon Barisan Nasional (BN) Senator Datuk Lim Ban Hong yang didakwa tidak bermoral kerana bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan menegaskan, Chean Chung sepatutnya menilai pendirian partinya sendiri yang lebih tidak bermoral apabila mengambil bekas wakil rakyat yang menjatuhkan kerajaan negeri.

“Hakikatnya Melaka terpaksa mengadakan PRN Melaka kerana tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersengkongkol dengan bekas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang merupakan pengkhianat.

“Chean Chung melemparkan pelbagai tuduhan tetapi menutup mata terhadap penyertaan rakannya, Datuk Shamsul Md Akin yang juga seorang ahli Parlimen namun dia mempertahankan tindakan itu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA hari ini.

Beliau juga mencabar Chean Chung untuk memohon maaf kepada Bang Hong sekiranya dakwaannya calon BN itu menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri.

Ban Hong merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Adakah beliau akan meminta maaf secara terbuka kononnya Ban Hong berkemungkinan menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri dan secara tidak langsung mempersoalkan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” tegas Yew Chuan.

Jelas beliau, undang-undang di negara ini membenarkan mereka yang memegang jawatan di peringkat Persekutuan bertanding dalam pilihan raya apatah lagi Ban Hong melalui proses penamaan calon secara sah.

“Malah pencalonannya telah diteliti serta diluluskan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sebelum proses penamaan calon pada 8 November lalu.

“Oleh itu status sebagai seorang senator dan timbalan menteri sememangnya tidak menjadi isu,” katanya.

Katanya lagi, jika Chean Chung masih tidak berpuas hati, beliau boleh mengemukakan bantahan melalui saluran perundangan kepada SPR dan bukan melalui media bagi tujuan mengalihkan fokus rakyat terhadap isu-isu ekonomi.

“Kita menyeru Chean Chung dan PKR supaya tidak membazir ruang pendapat umum mahupun masa calon dan rakyat tetapi bersaing secara rasional, sihat dan konstruktif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette