Ahmad Maslan

AYER KEROH – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan medan uji kaji kepada Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, jika dibuat uji kaji, ia hanya merugikan negara sekiranya pengundi mengulangi kesilapan lalu memilih parti politik yang gagal menubuhkan kerajaan yang stabil.

“PRN Melaka bukan medan untuk kita buat uji kaji, ingat ini bukan eksperimen sama seperti yang telah dilakukan pada PRU-14. Apa yang dilakukan sebelum ini terbukti silap dan salah.

“Apa yang dilakukan ketika itu telah menyebabkan negara menjadi tidak stabil, PRU-14 ramai yang buat uji kaji dan cuba tukar kerajaan.

“Tukar kerajaan bukan bahan uji kaji dan boleh dibuat sewenang-wenangnya. Jadi, jika salah pangkah, negeri dan negara akan tidak stabil dalam tempoh yang begitu lama,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRN Melaka hari ini.

Ahmad menegaskan, kesilapan memilih pada PRU-14 menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik dan negara menyaksikan wujudnya tiga kerajaan Persekutuan dan tiga Perdana Menteri dalam tempoh penggal ke-14.

“Ketidakstabilan politik menyebabkan banyak perkara berlaku seperti tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun selain kos politik yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, pengundi wajib memilih BN dalam PRN Melaka kali ini kerana gabungan parti itu menawarkan kestabilan demi kemakmuran kepada rakyat.

“BN masuk PRN Melaka untuk mencapai kemenangan bagi memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, Pilih kita (BN) kerana manfaat besar tersedia untuk rakyat merangkumi kestabilan demi kemakmuran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette