Salah satu daripada tiga harimau bintang salji yang mati akibat Covid-19. foto Lincoln Children's Zoo

LINCOLN, Nebraska – Tiga harimau bintang salji akhirnya mati akibat komplikasi berkaitan Covid-19 di sebuah zoo di sini walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkannya selepas disahkan positif virus itu kira-kira sebulan lalu.

“Kehilangan ini benar-benar menyayat hati,” kata kenyataan daripada Zoo Kanak-Kanak Lincoln.

Harimau bintang salji itu bukanlah satu-satunya haiwan yang dijangkiti virus di kemudahan tersebut.

Ini kerana harimau Sumatera turut disahkan positif Covid-19 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu.

Pihak zoo telah melakukan calitan pada hidung dan najis selepas penjaga haiwan memerhatikan simptom yang konsisten dengan virus pada haiwan tersebut, termasuk penyakit pernafasan.

Pihak zoo berkata, ia telah merawat harimau bintang salji dan harimau dengan steroid dan antibiotik untuk mencegah jangkitan sekunder, tetapi kenyataannya tidak menyatakan sama ada haiwan tersebut telah diberi vaksin atau sebaliknya.

Musim panas ini, haiwan zoo mula menerima vaksin Covid-19 eksperimen yang dibuat oleh Zoetis, sebuah syarikat farmaseutikal veterinar di New Jersey.

Harimau dari Zoo Lincoln kelihatan menarik diri, menurut kenyataan terbaru.

“Harimau Sumatera, Axl dan Kumar, telah pulih sepenuhnya daripada penyakit itu,” kata zoo itu.

Kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan haiwan zoo telah muncul di seluruh Amerika Syarikat, termasuk dua dubuk (hyena) berbintik pertama di dunia yang didapati mempunyai virus itu, antara haiwan lain yang dijangkiti di Zoo Denver.

Kes lain yang dilaporkan baru-baru ini termasuk harimau di Omaha, Nebraska; singa Afrika, harimau bintang salji, jaguar dan harimau di St Louis; dan singa di Honolulu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata, risiko haiwan menyebarkan Covid-19 kepada manusia dianggap rendah, tetapi orang ramai juga boleh menyebarkan virus itu kepada mereka dan kes dalam kalangan haiwan peliharaan dan haiwan di zoo telah didokumenkan di seluruh dunia .

Zoo Kanak-Kanak Lincoln, yang dianggap sebagai destinasi keluarga kerana kanak-kanak boleh mendekati haiwan.

Zoo ini menempatkan lebih 400 haiwan, termasuk lebih 40 spesies terancam, menurut laman webnya. – NYTimes