Boris Johnson. foto Reuters

LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson meminta penduduk negara itu segera mendapatkan vaksin Covid-19 dan dos penggalak untuk mengelakkan pelaksanaan sekatan pergerakan pada musim sejuk ini.

“Gelombang baharu Covid-19 sedang merebak ke seluruh Eropah dan memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula peraturan yang lebih ketat.

”Sejarah membuktikan tidak boleh leka,” kata Johnson pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.

Ditanya secara langsung tentang kemungkinan sekatan pergerakan pada hari Krismas ini, Johnson menjawab bahawa tiada apa-apa dalam data semasa yang menandakan keperluan untuk sekatan, tetapi memberi amaran bahawa kerajaannya tidak boleh ”menolak sebarang kemungkinan”.

Sebarang langkah untuk memperkenalkan semula sekatan pergerakan adalah keputusan bahaya buat Johnson, yang mengenakan sekatan pada saat-saat akhir semasa Krismas tahun lalu.

Namun terdapat perubahan ketara dalam nada beliau berbanding kenyataan tidak akan ada sekatan sepanjang musim cuti sebelum ini.

Ketua Pegawai Perubatan Britain, Chris Whitty berkata, kes Covid-19 Britain dan kemasukan ke hospital telah “secara umum mendatar” selama beberapa minggu.

Tetapi katanya, sebahagian besar perkhidmatan kesihatan berada di bawah “tekanan yang sangat ketara” dan berkemungkinan kekal begitu sepanjang musim sejuk.

Terdahulu pada hari Isnin, Kerajaan Britain berkata, ia memperluaskan program penggalak vaksin koronavirus kepada mereka yang berumur 40-an cuba mengelak gelombang jangkitan lain.

Dalam pada itu, beberapa saintis berpendapat Britain – yang telah menyaksikan beban kes harian yang tinggi sejak Julai lalu – sebenarnya mendahului gelombang terbaharu yang melanda benua itu. – Bloomberg