Kanak-kanak yang berusia 12 tahun berusaha menjual tisu di restoran sekitar Telok Mas, Melaka.

MELAKA – Walaupun suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang semakin rancak, namun tidak dapat dinafikan masih ada keluarga yang terlepas pandang daripada diberi bantuan.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang kanak-kanak darjah enam yang terpaksa menjual tisu bagi membantu keluarganya.

“Satu tisu 50 sen, tadi sudah jual dapat RM30, bagi RM10 untuk family makan tapi itu pagi, lagi RM10 beli tisu ni, untuk malam ni belum makan lagi,” katanya di Telok Mas, di sini, kepada MalaysiaGazette.

Menurut kanak-kanak yang ingin dikenali sebagai Vinesh itu, dia terpaksa berbuat demikian bagi membantu menyara sembilan adik beradiknya yang masih kecil.

“Saya ada sepuluh adik beradik, tapi sekarang tinggal sembilan. Abang sudah lari tinggal dengan nenek.

“Ayah kerja baiki paip, tapi sekarang tiada orang panggil,” katanya semasa menjual tisu di sebuah restoran sewaktu kehadiran seorang menteri yang membantu jentera parti pada PRN Melaka.

Tambahnya, dia bersyukur kerana ada insan yang memberikannya kuih-muih sebagai santapan malam.

“Sekarang ada kuih orang beri, malam tadi jual tisu tak ada orang beli, (cuba) jual dekat aunty itu pun tak nak beli,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November ini. – MalaysiaGazette