Wee Ka Siong

GuanAYER KEROH – Rakyat Melaka diingatkan agar tidak termakan dengan dakyah yang dimainkan pemimpin DAP kononnya Kerajaan Persekutuan meminggirkan kaum Cina dan India daripada pelbagai bantuan dalam Belanjawan 2022.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, dakwaan mengatakan Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersifatkan perkauman sebenarnya tidak berasas.

“Saya berasa kesal dengan DAP yang mengembar-gemburkan isu peruntukan yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2022 dalam konteks kaum.

“Mereka asyik menggunakan kononnya masyarakat Cina dan India hanya mendapat 0.1 peratus daripada peruntukan, ini satu motif dan tujuan yang tidak baik.

“Ianya telah diputarbelitkan seolah-olah mereka ini anggap kerajaan zalim, tidak membantu masyarakat bukan Melayu. Ia tidak hanya cuba menanam hasad dengki terhadap kerajaan yang memerintah sekarang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA, di Hotel World Youth, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa bantuan kepada masyarakat Cina dan India yang diperuntukan di dalam Belanjawan 2022 terhad kepada bantuan Kampung Baru dan pembiayaan Skim Mikro Kredit.

Ka Siong juga berkata, apa yang dipetik oleh Guan Eng cuma sebahagian daripada teks ucapan Menteri Kewangan hingga memberi gambaran buruk kononnya Cina dan India menerima peruntukan paling sedikit di negara ini.

“Banyak perkara yang tidak disebut dan ia telah dijanjikan kononnya dalam konteks Kampung Baru mendapat peruntukan sudah berpuluh tahun.

“Skim Mikro Kredit kepada mereka yang bermastautin di Kampung Baru, kemudian pinjaman kepada mereka yang merupakan pengusaha SME.

“Menteri Kewangan petik kepada tiga, banyak lagi soal peruntukan yang diberikan kepada SJKC, kemudian kepada Kolej Universiti Tengku Abdul Rahman, kemudian banyak lagi,” katanya.

Ka Siong turut berkata, masyarakat Cina dan India tidak terkecuali daripada mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPR)

“Mereka yang mendapat manfaat BPR selama ini bukan masyarakat Bumiputera sahaja, semua dapat. Orang Melayu dapat 37.11 peratus, ini kerana demografi dan penduduknya ramai.

“Kalau kita tengok masyarakat Cina B40, ada 18.97 peratus, hampir menyamai komposisi masyarakat penduduk di Malaysia.

“Saya rasa ini satu jumlah yang besar, tidak semana yang dilemparkan ke atas kita, kononnya kita melihat warna kulit, ini tidak,” katanya.

Katanya lagi, tindakan pemimpin DAP ini dilihat satu percaturan politik untuk mendapatkan undi pengundi Cina dan India di Melaka sekaligus menanamkan semangat dendam dan hasad dengki kepada kerajaan.

“Saya rasa kesal apa yang mereka bawa, macam-macam dia tuduh kita kononnya kita tak betul, kononnya kita bersengkongkol dengan parti-parti lain.

“Orang Melaka kena berhati-hati, jangan termakan dengan racun yang telah ditaburkan. Bila depan Melayu dia cakap lain, depan Cina dia main isu seolah-olah Cina ini ditindas.

“Saya sebut jumlah peruntukan kepada sekolah (SJKC), semua tak nak dengar, malahan jauh lebih tinggi daripada zaman dia memerintah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette