Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin(kiri) dan calon DUN N.11, Sungai Udang, Mohd Aleef Yusof (kanan) hadir bagi mengikuti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Hottel Hatten. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 NOVEMBER 2021.

BANDAR HILIR – Perikatan Nasional (PN) akan membuat kajian mendalam terhadap kekalahan yang dialami pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu perlu kerana ini merupaan pertama kali PN sebagai satu gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan bekerja sebagai satu kerjasama yang boleh dikatakan mantap.

“Tetapi apa pun dengan keputusan ini kita akan buat kajian yang agak mendalam sama ada ia ada kaitan dengan jumlah pengundi yang keluar tidak besar ataupun disebabkan oleh jentera ataupun masalah-masalah lain.

“Ini tentu memberikan kita banyak pengajaran dan juga banyak panduan dengan langkah-langkah seterusnya dalam PN untuk menghadapi Pilihan Raya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN Melaka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu Muhyiddin mengucapkan terima kasih
kepada semua pengundi di Melaka sambil berharap akan terus mendapat sokongan yang lebih baik pada masa akan datang.

Malah, beliau turut mengucapkan syabas kepada Barisan Nasional (BN) kerana berjaya membentuk semula kerajaan negeri di Melaka.

Sebentar tadi SPR mengumumkan secara rasmi BN
memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – MalaysiaGazette