ADUN Merlimau baharu, Dr Muhamad Akmal Salleh beramah mesra bersama masyarakat setempat selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN N.27 Merlimau di Pasar Tani Merlimau, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 NOVEMBER 2021.

MERLIMAU – Langkah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu menubuhkan sekretariat khas bagi memantau prestasi setiap wakil rakyat parti itu merupakan satu tindakan positif.

Ini  menunjukkan komitmen sayap UMNO itu untuk memastikan pimpinnya tidak leka selepas diberi mandat rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang baharu, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu diperlukan bagi mengekalkan kualiti muka baharu yang yang diketengahkan UMNO hingga memenangi dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

“Saya setuju dengan perkara tersebut sebab, dalam keadaan kita takut lupa.

“Ini menunjukkan satu komitmen bahawa Pemuda UMNO ingin menampilkan calon-calon yang kita terjamin kualitinya sampai akhirnya,” katanya lagi kepada MalaysiaGazette di sini pagi ini.

Terdahulu Dr Akmal bersama isterinya, Fatin Nadhirah Idrus menyantuni rakyat dan merakamkan penghargaannya kepada pengundi di sekitar Medan Selera Bandar Baru Merlimau.

Semalam, BN memenangi dua pertiga PRN Melaka dengan menewaskan pencabar sengitnya, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 21 kerusi berbanding dua milik PN dan lima kerusi yang dipertahankan PH.

Dr Akmal menang bergaya selepas memperoleh 5,632 undi dengan 3,248 majoriti, meninggalkan calon PH, Azrin Ab Majid (2,385) dan PN, Abdul Alim Shapie (1,622).

Dalam pada Itu, Dr Akmal juga terbuka ditegur mahupun dikritik sekiranya beliau gagal menjalankan tanggungjawab baharu itu malah bersedia untuk ditolak rakyat jika tidak menunjukkan prestasi baik di kawasan itu.

“Kalau saya tak tunjuk pretasi, kalau rasa saya tak boleh buat kerja dalam tempoh dalam lima tahun ini, pilihan raya selepas ini jangan undi saya.

“Ini komitmen saya dan ini juga Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pesan jadi wakil rakyat kena jadi Yang Berkhidmat bukan Yang Berhotmat semata-mata.

“Itu kami pegang dan Insya-Allah kita akan tunaikan sampai ke akhir hayat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette