ADUN Paya Rumput baharu, Datuk Rais Yasin (tengah) menyantuni pengundi sebagai tanda terima kasih selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka N.13 Paya Rumput di kediamannya di Paya Rumput Indah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2021.

PAYA RUMPUT – Tiada istilah giant killer bagi calon kurang dikenali yang berjaya menewaskan calon heavyweight dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput yang baharu, Datuk Rais Yasin berkata, kejayaan itu bukan sesuatu yang perlu dibanggakan meskipun Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu itu berjaya menewaskan pemimpin utama PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

“Ini bukan kejayaan yang perlu dibanggakan kerana ini adalah satu amanah daripada rakyat sendiri di tempat saya setelah mereka membuat pilihan.

“Saya selaku ADUN yang telah menang semalam, saya perlu menjalankan tugas dan amanah dan segala apa yang dijanjikan itu dengan sebaik mungkin saya akan tunaikan.

“Jadi tiada istilah seperti orang kata dapat kalahkan Datuk Shamsul, macam giant killer. Bagi saya, itu semua tidak sangat penting.

“Paling penting apa yang saya janjikan, mohon dan rayu kepada rakyat di N13 Paya Rumput ini, perkara itu mesti saya selesaikan dahulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediaman keluarganya di sini hari ini.

Terdahulu Rais menyantuni jentera Barisan Nasional (BN) dan pengundi DUN Paya Rumput untuk merakamkan penghargaan sepanjang tempoh kempen dan membantu beliau memenangi kerusi N13 Paya Rumput dalam PRN Melaka semalam.

Semalam, BN memenangi dua pertiga PRN Melaka dengan menewaskan pencabar sengitnya, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 21 kerusi berbanding dua milik PN dan lima kerusi yang dipertahankan PH.

Rais memperoleh 6,830 undi dengan 629 majoriti, meninggalkan calon PH, Shamsul Iskandar (6,201) dan PN, Abdul Alim Shapie (3,972).

Dalam pada itu, beliau juga mengakui sebelum keputusan akhir diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam, kedudukan jumlah undi yang diperolehinya berbanding empat pencabarnya mendebarkan.

“Saya rasa semalam memang keadaan seperti yo yo, naik…turun…naik…turun, jadi saya boleh nampak trend pengundi di DUN Paya Rumput ini kerana dulu BN kalah di sini dengan majoriti besar juga 4,259 undi pada PRU-14 lalu.

“Tetapi apa yang saya boleh lihat apabila keputusan akhir itu keluar dan saya dinobatkan selaku wakil rakyat di sini saya boleh nampak keyakinan rakyat itu kembali kepada BN,” katanya.

Meskipun peratusan keluar mengundi semalam rendah namun bagi beliau kadar 63 peratus di kerusi N13 itu adalah tinggi ditambah pula sokongan datang daripada pelbagai pihak, tidak terkecuali daripada akar umbi Pas sendiri.

“Kami mempunyai 58 saluran, kita DUN terbesar di Melaka dengan majoriti orang Melayu sebanyak 61 peratus, Cina juga 30 peratus dengan 7,800 pengundi dan begitu juga kaum India 1,800 pengundi.

“”Saya yakin dan percaya saya adalah wakil rakyat bukan hanya pada BN sahaja tapi saya mewakili semua masyarakat di DUN Paya Rumput ini.

“Saya akan bekerja untuk semua, sama ada mereka memberi undi kepada saya atau tidak itu adalah rahsia mereka, tetapi Insya-Allah saya berjanji akan tunaikan tanggungjawab kepada semua,” katanya.

Ditanya tentang slogan BN kali ini menjadi daya penarik kepada pengundi untuk kembali kepada partinya, Rais tidak menafikan perkara itu bahkan kestabilan politik yang dipertaruhkan dalam manifesto dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

“Kalau kita lihat manifesto kita yang pertama di Melaka iaitu Kestabilan Politik, ini sebenarnya yang penting kerana rakyat mereka inginkan satu kerajaan yang stabil.

“Bila satu kerajaan yang stabil, akan datangnya kemakmuran, kemudian barulah kita oleh memajukan Melaka ini.

“Saya lihat itu memang satu faktor utama kestabilan politik, kerana itulah kalau kita tengok gelombang kali ini BN memenangi balik sejak sekian lama 21 kerusi membentuk dua pertiga.

“Ini menunjukkan apa rakyat Melaka ini inginkan satu kerajaan negeri yang stabil. Saya rasa itu adalah satu perkara yang sangat signifikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette