Keadaan di kawasan rempuhan. foto USA Today

MADISON – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan lebih 40 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh perarakan di negeri Wisconsin Amerika Syarikat (AS), kata polis.

Rakaman menunjukkan sebuah SUV merah memandu melalui perarakan Krismas di bandar Waukesha, barat Milwaukee, sekitar jam 4.40 waktu tempatan (22:40 GMT).

Ketua Polis Wisconsin, Dan Thompson berkata, puluh-puluh mangsa terkena rempuhan tersebut, termasuk kanak-kanak.

Seorang individu telah ditahan.

Setakat ini, insiden itu tidak kelihatan sebagai tindakan keganasan

Suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian apabila dia terserempak dengan orang ramai pada perarakan itu, kata pegawai penguatkuasa undang-undang yang mengetahui tentang penemuan awal siasatan.

Polis memberi amaran bahawa jumlah kematian dan kecederaan boleh berubah apabila maklumat tambahan dapat dikumpul.

Menurut saksi, ramai mangsa berkejar ke hospital tempatan berhampiran.

Perarakan di Waukesha membabitkan 72,000 komuniti – diadakan setiap tahun pada hari Ahad sebelum hari Thanksgiving membabitkan persembahan pertunjukan pakaian beragam, tarian dan pancaragam.

Polis telah menemui kenderaan suspek dan individu yang disyaki sudah berada dalam tahanan.

Difahamkan, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta itu dalam usaha memberhentikannya. – BBC