Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 27,410 orang tenaga kerja tempatan mendapat pekerjaan di Johor melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 15 Jun 2020 sehingga 5 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, sejumlah 25,221 pekerja tempatan lain pula telah menghadiri program latihan di bawah inisiatif tersebut bagi tempoh sama.

Katanya, antara lima sektor pekerjaan utama yang menawarkan kekosongan itu termasuklah sektor pembuatan, sektor perkhidmatan lain, sektor penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman, sektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.

“Menerusi inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang giat dilaksanakan Unit Strategik Modal Insan Johor, lebih 6,000 peluang pekerjaan juga telah pun ditawarkan dan disediakan bagi golongan pencari kerja, penganggur mahupun mereka yang telah diberhentikan pekerjaan.

“Namun begitu hanya seramai 533 individu sahaja yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor dan hebahan jawatan kosong di platform media sosial jabatan,” katanya.

Mohd. Izhar menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Md. Ysahrudin Kusni (PH) dan ADUN Panti, Hahasrin Hashim (BN) yang ingin tahu jumlah peluang pekerjaan diwujudkan selepas pandemik Covid-19 dan perkembangan terkini peluang yang ditawarkan mengikut sektor pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini hari ini.

Sementara itu, terdapat 40,149 kekosongan jawatan ditawarkan di Johor sehingga 29 Oktober lalu merangkumi 17,881 kekosongan bagi sektor pembuatan dan 5,081 jawatan kosong di sektor penginapan diikuti 2,965 kekosongan dalam sektor pengangkutan.

“Sektor khidmat sokongan menawarkan kekosongan jawatan sebanyak 2,863 manakala sejumlah 2,577 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor pemborong dan peruncitan.

“Manakala, sebanyak 2,499 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor profesional seperti setiausaha, kerani dan pembantu akauntan selain jawatan kosong dalam sektor-sektor lain,” katanya.- MalaysiaGazette