Tan Cheng Hoe. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

PETALING JAYA – Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya barisan penyerang yang disenaraikannya, mampu menggalas tanggungjawab merobek gawang lawan pada saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 bermula awal Disember ini.

Jurulatih berusia 53 tahun itu yang kehilangan khidmat Darren Lok berikutan kecederaan otot perut baru-baru ini, yakin penggempur seperti Guilherme de Paula, Syafiq Ahmad, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi serta Luqman Hakim Shamsudin, mampu meledak jaringan buat pasukan Malaysia.

“Ketiadaan Darren sedikit sebanyak mengganggu bahagian serangan, tetapi kita ada beberapa pemain lain yang berada di posisi tersebut. Kita perlu merancang yang terbaik untuk atasi pasukan lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan PKNS di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk memanggil pemain lain yang tidak berada dalam senarai 28 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan kali ini, berdasarkan aksi separuh akhir Piala Malaysia, Cheng Hoe berkata senarai itu kekal.

“Kita lihat pemain-pemain yang beraksi di suku akhir, separuh akhir atau akhir (esok) pun, mampu memberi sesuatu kepada pasukan. Cuma saya mengharapkan dan menekankan bahawa para pemain bebas dari segi kecederaan dan keletihan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan pertahanan kiri Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar, yang tidak dapat melapor diri semalam berikutan masalah kesihatan, telah melaporkan diri hari ini, manakala baki tujuh pemain Johor Darul Ta’zim dan dua tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC, akan hadir selepas final Piala Malaysia, yang dijadual malam esok.

Cheng Hoe berkata, barisan kejurulatihan juga pada setiap masa, terus memantau latihan dan prestasi perlawanan pemain yang sedang beraksi di luar negara seperti Luqman Hakim (Belgium) dan Dominic Tan (Thailand).

“Harap mereka dah boleh fokus apabila kita berkumpul di Singapura nanti. Mungkin ada satu atau dua hari sahaja persiapan apabila sampai di situ nanti, kita akan pendekkan tempoh latihan dan beri tumpuan kepada taktikal sahaja,” jelasnya.

Malaysia yang merupakan juara edisi 2010, akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Kemboja pada 6 Dis, diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) dalam misi mencapai sasaran mara ke akhir buat kali kedua berturut-turut. – Bernama