Kakitangan Kerajaan tidak melepaskan peluang menonton pembentangan Bajet Perak 2022 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika tinjauan Malaysia Gazette di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Bajet Perak 2022 dilihat meneruskan beberapa inisiatif yang pernah digerakkan sebelum ini.

Antara program itu adalah peruntukan air percuma kepada golongan miskin dan program bas henti-henti, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Kerajaan negeri juga melalui Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan RM8.6 juta bagi meneruskan program air percuma golongan miskin dan diskaun air bagi kategori domestik.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.1 juta bagi Projek Perkhidmatan Bas Henti-Henti iaitu Bas Perak Sejahtera yang akan diteruskan pelaksanaannya di bandar Manjung.

“Perkhidmatan ini diperluaskan ke bandar Taiping, sekitar pekan Sungai Siput dan pekan Tapah,” katanya ketika perbentangan Bajet 2022 negeri itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Selain itu, bagi meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, kerajaan turut memperuntukkan RM34.7 juta kepada sektor pendidikan pada tahun hadapan, katanya.

Menurut Saarani, sebanyak RM7 juta disalurkan kepada Pusat Asprirasi Anak Perak (PASAK), biasiswa pendidikan dalam dan luar negara berjumlah RM6.4 juta selain dana RM4 juta bagi tujuan pinjaman pendidikan tinggi.

Sejumlah RM19.3 juta turut disalurkan untuk pembangunan sukan dan pemerkasaan anak muda.

“Majlis Sukan Negeri Perak sebagai peneraju pembangunan sukan Negeri diperuntukkan RM11.8 juta merangkumi penyediaan tenaga kerja dan program-program pembangunan sukan termasuk sukan Orang Kelainan Upaya,” kata Saarani.

Bagi memastikan semua jabatan kerajaan negeri dilengkapi dengan perkhidmatan telekomunikasi internet yang baik, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.5 juta meliputi PERAKNET RM3.5 juta, peningkatan keupayaan pendigitalan RM2.5 juta, media dan penerangan RM1.2 juta serta sumbangan komunikasi dan multimedia RM0.3 juta.

Dalam fokus untuk memulihara khazanah alam sekitar, kerajaan negeri turut memperuntukkan Rm49.9 juta merangkumi peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebanyak RM43.4 juta iaitu RM41.4 juta Belanja Mengurus dan RM2.0 juta bagi Program Pembangunan Hutan.

“Selain daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM3.5 juta kepada Perbadanan Taman Negeri Perak, RM0.8 juta untuk penyelenggaraan tapak repositori di Mukim Belanja, Kinta dan RM0.7 juta pembangunan Geopark Lembah Kinta,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bajet Perak: RM1 juta untuk anak yatim Covid-19