Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 37 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang COVIDNOW.

Ia menjadikan jumlah kumulatif angka korban akibat jangkitan virus tersebut kini melepasi 31,026 orang dengan empat kes merupakan kematian di luar hospital (BID).

Pulau Pinang mencatatkan kes kematian baharu tertinggi akibat Covid-19 iaitu enam kes diikuti Johor, Kedah, Perak dan Terengganu masing-masing empat kes kematian.

Manakala Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor merekodkan tiga kes kematian diikuti Sabah serta Kuala Lumpur dengan dua kes.

Kelantan dan Melaka hanya mencatatkan satu kes kematian akibat wabak tersebut.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan di Perlis, Sarawak, Putrajaya dan Labuan.

Dalam perkembangan lain, laman sesawang berkenaan turut melaporkan jumlah kes yang masih lagi aktif berjumlah 56,229 kes dengan 4,257 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di hospital.

COVIDNOW turut berkongsi angka individu yang menjalani kuarantin di rumah iaitu seramai 46,826 orang bersamaan dengan 83.3 peratus manakala seramai 4,763 orang (8.5 peratus) ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. – MalaysiaGazette