Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Asuma Beevi Mohamed Sali

KUALA LUMPUR – Selepas 176 Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian mahu pemilihan parti ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kini tuntutan sama turut disuarakan 171 Pergerakan Puteri UMNO Bahagian.

Setiausaha Pergerakannya, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, majoriti sayap parti itu bertegas mahu jentera parti dipimpin ke arah gerak kerja memenangi PRU15 dan hanya mengadakan pemilihan parti selepas pilihan raya.

“Ini bagi memastikan seluruh jentera dan kepimpinan parti memberi fokus 100 peratus kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU15 nanti.

“Ketidakstabilan parti menuju ke PRU15 selepas pemilihan akan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat khususnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Disember lalu dan kurang dari 10 bahagian sahaja yang akan bersidang pada 18 dan 19 Disember ini.

Selain pemilihan parti, sayap UMNO itu juga sebulat suara menuntut agar wanita muda dinamakan sebagai calon pilihan raya demi memperkasa dan menaiktaraf kedudukan golongan muda di dalam parti.

“Pentas politik negara dan dunia hari ini memerlukan golongan intelektual muda, idealistik, berfikiran jauh dan berdaya saing, selari dengan peredaran masa yang mampu bersuara dalam menentukan masa hadapan anak muda.

“Strategi berani dan bernas oleh presiden UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mengetengahkan lebih ramai calon muda dan muka baharu jelas mendapat sokongan dan dipilih rakyat untuk menjadi wakil mereka,” katanya.

Asuma Beevi turut berkata, majoriti Pergerakan Puteri UMNO Bahagian itu juga mendesak kerajaan memperkasakan wanita dan memberi ruang seluas-luasnya kepada golongan itu dalam penggubalan dasar negara.

“Hari ini Kabinet Malaysia hanya membuka ruang kepada lima Menteri dan empat Timbalan Menteri wanita atau 13 peratus sahaja.

“Kerajaan didesak melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wakil wanita di dalam Kabinet Malaysia dan menjadikan ini sebagai satu peraturan dalam membentuk Kabinet negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar tiga usul utama itu akan diperhalusi dan dibahas di dalam Persidangan Agung UMNO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi mendapatkan mandat perwakilan seterusnya dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Selain agresif bersiap-siaga menunggu gendang perang dipalu, harapan para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara adalah agar suara anak muda diangkat dan terus diperkasakan demi kelangsungan parti keramat ini.

“Saya mengucapkan syabas kepada para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara yang matang, lantang dan bijak memilih platform betul untuk menyuarakan pendapat kepada pimpinan tertinggi.

“Besar harapan kami agar usul-usul yang dibawa ini akan diperhalusi sebaiknya dan dizahirkan dengan ketetapan yang akan membawa kebaikan kepada parti dan rakyat Malaysia secara amnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast