KUALA LUMPUR – UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal daripada pemilihan parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dapat memberi ruang kepada pemimpin UMNO yang telah ditugaskan sebagai jentera melaksanakan kerja mereka dengan jawatan sekarang.

“Bukan kita mahu PRU15 diadakan serta-merta, tetapi kita mahu ia diadakan lebih awal daripada pemilihan parti.

“Jentera paling kuat adalah Wanita UMNO kemudian Pemuda dan Puteri.

“Wanita tak ada had umur. Wanita ada jalinan rakyat (JR) yang sangat kuat, tetapi Pemuda ada had umur iaitu hingga 40 tahun kecuali Ketua Pemuda Malaysia.

“Maklumat yang saya dapat daripada 191 Bahagian Pemuda didapati 117 telah tamat tempoh umurnya jika dibuat sekarang atau awal tahun hadapan, ia akan menjejaskan perjalanan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Badan Datuk berkata, jika terus didesak untuk pemilihan parti sebelum PFRU15,  66 peratus Ketua Pemuda akan tamat tempoh khidmatnya.

“Naib Pemuda pula sebanyak 58 peratus daripada mereka akan tamat sedangkan mereka dilatih sebagai jentera. Bagi Puteri pula, 77 peratus akan tamat tempoh sedangkan mereka sudah diberi tugas.

“Fikirkanlah… kalau ada jawatan tapi kalah dalam PRU15 macam mana nanti,” jelasnya.

Beliau berkata, seharusnya parti dan kerajaan perlu seiring jalan.

“Jangan ada pertentangan dalam parti kerana kerajaan harus didukung oleh parti dan parti juga harus mendukung kerajaan.

“Untuk itu apabila kita harus seiring sejalan, wajib kita memperkukuhkan parti. Jangan ada beberapa kerat, dalam kalangan ‘pemimpin di sana’ yang tak ada jawatan di peringkat nasional mula merancang berbagai-bagai.

“Tunggulah… sabarlah, kalau mereka benar-benar ada kekuatan, apabila ada pemilihan parti, tawarkan diri (kalau boleh menang), kerana akar umbi mahu supaya hanya pemimpin yang jujur sahaja berada dalam kepimpinan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette