Rumah Ebby Yus hanyut dibawa arus. Foto Ihsan Ebby Yus.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak, Ebby Yus berdepan dugaan besar selepas rumahnya musnah akibat bencana banjir di Kuala Langat, Selangor kelmarin.

Rumah yang sedang dalam 90 peratus siap hasil pendapatan yang disimpan sejak 30 tahun lalu ranap dihanyutkan arus deras.

Menceritakan insiden itu, Ebby berkata, dia bersama pembantu peribadi pergi melihat kerja-kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu termasuk proses memasang kertas hiasan dinding, tengah hari sebelum itu.

“Tanpa disangka, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu ‘lenyap’ dalam kejadian banjir, petang semalam.

“Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena seni… Saya akur dengan ketentuan ini,” katanya kepada BH Online.

Rumah Ebby Yus sebelum hanyut dibawa arus. Foto Ihsan Ebby Yus.

Ebby berkata, kerja pembinaan rumah itu dilakukan sedikit demi sedikit dan kerap terhenti kerana dia jatuh sakit selain sekatan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukkan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK), saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu.

“Sebelum ini, projek pembinaan bertukar kontraktor kerana masalah tidak terduga… Biasalah, kerja bina rumah semuanya perlukan wang,” katanya.

Ebby yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia menyewa di Kampung Baru, di sini, sejak 20 tahun lalu.

Akibat bencana itu, pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid, 56, terpaksa menanggung kerugian hampir RM200,000. – MalaysiaGazette