Azman (dua dari kiri) bercakap sesuatu kepada mangsa-mangsa banjir ketika penyampaian sumbangan banjir di Kampung Kolam Air, dekat Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di empat kawasan di sekitar Sentul hari ini menerima bantuan daripada Tycoon Prihatin sebagai usaha untuk meringankan beban mereka.

Usaha tersebut mendapat kerjasama daripada anggota Balai Polis Sentul yang turut membantu menyelaras program berkenaan agar dapat berjalan dengan lancar serta mencapai objektifnya.

Antara lokasi sumbangan adalah di Kampung Chubadak, Kolam Air Panas, Kolam Air dan Kampung Kassipilay.

Pengarah program, Azman Arshad berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu mangsa-mangsa banjir terbabit yang berada di dalam kawasan Parlimen Batu kerana mendapati mereka terjejas teruk akibat bencana yang dialami pada Sabtu lepas.

Katanya, ia merupakan satu tanggungjawab sosial (CSR) yang diambil oleh Tycoon Prihatin kerana memahami keperitan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir tersebut.

Katanya, sebanyak RM70,000 dibelanjakan untuk membeli barang-barang sumbangan dan aktiviti seperti itu telahpun bermula ketika negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum ini.

Azman Arshad

“Kami merupakan NGO persendirain yang bergerak di sekitar kawasan Sentul…pemberian ini tidak dibiayai oleh mana-mana badan politik dan kami melakukan ini semua atas dasar keprihatian dan kemanusiaan.

“Bantuan yang kami berikan adalah seperti dapur gas, toto, bantal serta sedikit makanan dan minuman agar mangsa-mangsa banjir ini dapat merasa sedikit kelegaan di atas sumbangan yang kami sumbangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir terbabit.

Azman berkata, dana yang diperoleh untuk membeli barang-barang sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir terbabit diperoleh daripada hasil kutipan ahli-ahli dalam Industri Vape Malaysia.

Ujarnya, sebelum ini bantuan turut diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di Hulu Langat pada Isnin lalu dan kumpulan ini akan bergerak ke sana semula bagi menghabiskan ke semua stok barangan sumbangan yang berbaki.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya ada menyuarakan mengenai niat untuk membantu mangsa-mangsa banjir terbabit kepada pihak polis di Balai Sentul.

Jelasnya, banyak NGO bertumpu di kawasan-kawasan utama seperti di Hulu Langat, Shah Alam, Klang dan banyak lagi, namun, kawasan-kawasan terpencil seperti di sini di lepas pandang.

“Kita dapat kerjasama daripada Ketua Polis Balai Sentul dan mereka menyediakan senarai tenmpat untuk sumbangan-sumbangan ini diberikan,” katanya yang juga merupakan Pengarah Tycoon Vape Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Balai Sentul, Inspektor Hairie Osman berkata, pihaknya telah lama bekerjasama dengan Tycoon Prihatin dalam banyak misi bantuan sebelum ini.

Katanya, tercetusnya idea untuk bekerjasama dengan NGO berkenaan adalah selepas ibu negara terutama di kawasan Sentul sering terjejas teruk terutama dalam kejadian banjir aoabila hujan lebat.

Inspektor Hairie Osman

Jelasnya, banyak warga di kawasan berkenaan tidak mendapat bantuan apabila berlakunya bencana alam itu.

“Kita di sini cuba membantu melancarkan usaha mereka dalam menyampaikan misi bantuan agar tidak ada mangsa yang selayaknya menerima tertinggal daripada senarai.

“Kita dah kenal pasti kawasan dan kita harap pengagihan ini akan dapat berjalan dengan lebih lancar lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast