Tiara Andini.

KUALA LUMPUR – Penyanyi cantik dan berbakat dari negara jiran, Tiara Andini akhirnya mengeluarkan album sulung penuhnya yang menggunakan judul sama dengan namanya, Tiara Andini di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.

Namun dua hari sebelum album pertama Tiara Andini itu dikeluarkan, Tiara telah memberikan kejutan dan membanggakan para peminatnya selepas berjaya dipilih sebagai Spotify EQUAL Artist Indonesia untuk Disember.

Ia sekaligus menempatkan wajah Tiara Andini terpampang di papan iklan digital New York’s Times Square sebagai wakil dari Indonesia.

Selain itu, karya Tiara Andini turut dimasukkan dalam senarai lagu global EQUAL, bersama dengan beberapa artis wanita luar biasa dari seluruh dunia.

Untuk album sulung Tiara Andini, bekas peserta rancangan realiti Indonesian Idol ini berpeluang bekerjasama dengan beberapa pemuzik dan pencipta karya tersohor.

Antaranya Yovie Widianto, Laleilmanino, Asta RAN, Handy Soulvibe, Vidi Aldiano dan salah seorang teman duetnya, Arsy Widianto.

Ia menampilkan lapan buah lagu, lima diantaranya adalah lagu hit yang telah dikeluarkan sebelumnya berjudul; Gemintang Hatiku, Maafkan Aku #TerlanjurMencinta, 365, Hadapi Berdua, dan Buktikan.

Sementara, tiga lagu tambahan lainnya berjudul; Menjadi Dia, Merasa Indah, dan Janji Setia.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya album ini dapat dikeluarkan. Pada saya ini sebuah hal yang sangat bersejarah, kerana kalau single kan sudah beberapa kali saya keluarkan,

“Ini adalah album pertama kalinya sepanjang hidup saya, jadi saya sangat gembira dengan pencapaian ini,” ujar Tiara Andini tentang album perdana itu.

Tiara turut menambah, album ini adalah hasil perjuangannya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi selama menjalani hidup, dan dia sangat bersyukur.

Dia juga berharap album itu dapat diterima oleh seluruh masyarakat yang mendengarnya.

“Saya sangat bersyukur mempunyai teman-teman, keluarga dan lingkungan yang menyokong saya selama meniti kerjaya sampai saya memiliki album sendiri. Semoga ia membawa pengaruh baik dan dapat menginspirasi kalian,” katanya.

Selain lima lagu yang telah menjadi hit sebelumnya bersamaan dengan pelancaran album ini, lagu Menjadi Dia dijadikan salah satu lagu terulung untuk album itu.

Lagu yang bertemakan cinta ini mengambil warna muzik pop balada, sesuai buat halwa telinga pendengar.

Sementara itu, semua lagu dalam album ini sudah dapat didengari dan dinikmati di semua platform penstriman digital.

Selain itu album itu juga boleh didapati dalam bentuk fizikal yang dikemas dalam bentuk set kotak khas atau boxset.

Album itu juga sudah boleh didapati di Tokopedia Play Livestream. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast