Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat Datuk Seri Ismail Sabri hanya mengikut telunjuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila tidak meluluskan pengeluaran RM10,000  melalui skim i-Citra.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mendakwa, dalam diam Bersatu menggunakan peluang ini untuk menghentam Perdana Menteri dan UMNO.

“Sebaliknya mereka cuba menaikkan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya berani mengarahkan KWSP untuk membuat beberapa pengeluaran simpanan rakyat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Disember lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP berjumlah RM10,000 meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

Katanya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal tidak melihat dengan menaikkan jumlah pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 hanya memberikan kesan kecil jika dibandingkan dengan pengeluaran i-Sinar yang mencecah maksima RM60,000.

“Malahan, dana yang dikeluarkan ini boleh digantikan semula melalui pelbagai kaedah seperti yang pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mengambil contoh seorang pekerja bergaji RM2,000 sebulan, jumlah caruman bulanan KWSP beliau adalah RM460 sebulan (11% pekerja + 12% majikan) dan bernilai RM5,520 (RM460 x 12) untuk setahun.

“Malah, tambahan pengeluaran RM5,000 hanya bernilai RM12,931 dalam tempoh 25 tahun dengan kadar dividen terkumpul lima peratus setahun,” katanya.

Menurutnya, tuntutan pengeluaran simpanan KWSP telah lama dibuat malahan sebelum Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri cuma musibah banjir sejak akhir tahun lalu menjadikan tuntutan ini lebih relevan.

“Cadangan ini telah pun dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri oleh Datuk Seri Ismail Sabri namun ianya telah ditolak oleh Menteri Kewangan bersama beberapa menteri dari Bersatu termasuklah beberapa menteri UMNO yang mesra Bersatu.

“Secara tidak langsung, Bersatu dilihat berjaya mensabotaj kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM dan Naib Presiden UMNO,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mempercayai rakyatnya sendiri untuk membelanjakan simpanan mereka dengan meluluskan tuntutan ini dengan segera.

“(Jika tidak) Bersatu akan terus dilihat boleh melaksanakan dasar ini dan Perdana Menteri daripada UMNO pula akan dianggap tidak berkebolehan untuk melaksanakannya walaupun sebenarnya boleh melaksanakannya.

“Gesaan berteraskan denyut nadi hidup rakyat ini adalah komitmen jelas Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk warga Malaysia yang masih terjejas hidupnya untuk kembali membina kehidupan mereka.

“Ia sejajar dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Ogos 2021 yang lalu. Ianya bukan sama sekali bermotif politik populis, jauh sekali bersifat menghasut seperti selaran Menteri Kewangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. KWSP Sebenarnya telah mendapat keuntungan yang tinggi kerana pelbagai pelaburan di dalam negara serta luar negara.
    Wang pencarum bukan digunakan hanya setahun sekali tetapi setiap hari dan ini memberi pulangan mengikut hari-hari diniagakan.Adakah KWSP memberi penjelasan yang sebenar kepada pencarum atau hanya menakutkan pencarum.
    Pengurusan KWSP bertanggungjawap sepenuhnya atas pulangan yang menyebabkan penurunan atau kerugian wang pencarum.
    Jawatankuasa penilaian pelaburan KWSP perlu aktif dalam memastikan pelaburan yang memberi keuntungan dalam syarikat berdaya maju untuk jangka masa panjang dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada syarikat negara seperti Petronas.
    Sekarang Dunia bergerak pantas dalam era teknologi maka pengurusan KWSP mesti melihat setiap peluang yang ada.

Comments are closed.