Khairul Dzaimee Daud Sungai Bakap Temporary Immigration Depot in Penang Rohingya detainees riot escape
Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Kadar bayaran yang dikenakan kerajaan kepada majikan bagi pengambilan Pembantu Rumah Asing (PRA) telah ditetapkan sebanyak RM1,136.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu merangkumi kadar bayaran levi, visa mengikut negara, fi proses, bayaran Pas, wang jaminan dan beberapa bayaran lain yang berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menafikan laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang mendakwa, kos pengambilan PRA terlalu tinggi.

Menurut Khairul Dzaimee, negara sumber yang dibenarkan bagi sektor PRA tidak terhad kepada beberapa negara sahaja.

Malah, katanya, majikan bebas memilih pembantu rumah asing sama ada dari Filipina, Indonesia, India, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Kemboja, Nepal dan Laos.

“Setiap pengambilan PRA perlu mematuhi syarat kelayakan yang digariskan seperti umur, jantina dan lulus pemeriksaan kesihatan oleh FOMEMA apabila tiba di negara ini.

“Sehingga 31 Disember lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah merekodkan seramai 88,173 PRA yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya.

Beliau berkata, majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai prosedur permohonan PRA serta lain-lain maklumat berkaitan dengan melayari portal rasmi Jabatan www.imi.gov.my atau media sosial rasmi JIM. – MalaysiaGazette