Pekerja kilang berjalan keluar selepas tamat waktu bekerja. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur pada bulan November berkurangan bawah 700,000 orang buat pertama kalinya, paling rendah sejak April 2020 kepada 694,400 orang berbanding 705,000 orang pada bulan Oktober 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, kedudukan tenaga buruh pada bulan itu kekal stabil dengan peningkatan guna tenaga berterusan berikutan pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial yang merangsang kesan positif terhadap pasaran buruh.

Bagaimanapun, kadar pengangguran pada November 2021 kekal seperti bulan sebelumnya iaitu 4.3 peratus berikutan lebih ramai golongan tidak aktif mula mencari pekerjaan yang ditunjukkan oleh penurunan 0.3 peratus luar tenaga buruh kepada 7.34 juta orang pada bulan tersebut (Oktober 2021: 7.36 juta orang).

Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2021 terus meningkat kepada 68.9 peratus (Oktober 2021: 68.8%) dengan bilangan tenaga buruh bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 16.30 juta orang (Oktober 2021: 16.26 juta orang).

Jabatan Perangkaan berkata, bulan November 2021 telah menyaksikan lima lagi negeri telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara kecuali negeri Kelantan dan Sarawak yang masih berada dalam Fasa 3.

Selain itu, kadar vaksinasi lengkap keseluruhan terus meningkat sementara bilangan kes harian Covid-19 semakin berkurangan.

Situasi yang menggalakkan ini juga telah mendorong kepada lebih banyak aktiviti perjalanan dalam dan luar negara pada bulan tersebut, dan selanjutnya turut mempengaruhi pasaran buruh pada November 2021.

Katanya, penduduk bekerja pada November 2021 terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 0.4 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.61 juta orang (Oktober 2021: 15.55 juta orang).

Manakala nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 66 peratus pada November 2021 (Oktober 2021: 65.8%).

Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan pengangkutan & penyimpanan.

Trend yang sama turut dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan manakala guna tenaga dalam sektor Pertanian dan perlombongan & pengkuarian terus menurun.

Menurut Mohd Uzir, permintaan buruh didapati meningkat selari dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi termasuk sektor berkaitan pelancongan seperti aktiviti penginapan dan kesenian, hiburan & rekreasi.

Selain itu, prospek ekonomi yang lebih menyakinkan juga akan mendorong orang ramai untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.

Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja merangkumi 76.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat sebanyak 0.2 peratus merekodkan 12.0 juta orang (Oktober 2021: 11.97 juta orang).

Begitu juga dengan kategori penduduk bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit; penjaja; penjual di pasar dan gerai; serta pekebun kecil terus meningkat pada bulan November sebanyak 0.8 peratus kepada 2.63 juta orang (Oktober 2021: 2.61 juta orang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast