Seorang OKT berpakaian lokap ungu cuba meloloskan diri ketika dinaikkan dalam trak polis di hadapan Klinik Kesihatan Beranang sebelum berjaya ditangkap semula pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian.- Gambar Ihsan IPD Kajang.

KAJANG – Cubaan seorang lelaki yang juga Orang Kena Tangkap (OKT) meloloskan diri sejurus selepas menjalani ujian calitan Covid-19 di sebuah klinik tidak kesampaian apabila berjaya ditangkap semula tidak jauh dari lokasi kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, terdahulu tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang OKT berpakaian tahanan berwarna ungu melarikan diri ketika naik trak polis.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku semalam kira-kira pukul 11 pagi di hadapan Klinik Kesihatan Beranang.

“Semasa kejadian, anggota polis bertugas telah mengiring seramai 19 OKT dari Balai Polis Kajang ke Klinik Kesihatan Beranang untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

“Sebaik sahaja selesai urusan tersebut, semua OKT telah dinaikkan semula ke dalam trak polis sebelum salah seorang OKT (tangan tak bergari) secara tiba-tiba cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun berjaya ditangkap semula dalam jarak 50 meter dari lokasi kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Zaid, OKT terbabit kini telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan dimasukkan semula ke lokap.

“OKT terbabit sebelum ini telah ditahan bersabit kes samun dan sedang berada dalam tempoh tahanan reman sehingga esok.

“Susulan kejadian ini, IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan ke atas OKT kerana melarikan diri daripada tahanan polis,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette