Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah PPN Phase 1 relaxation dine in
Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan pengambilan dos penggalak oleh setiap individu yang layak dalam usaha mengelak berlaku peningkatan semula kes.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara sejak 13 Oktober lalu.

Menurut beliau, sehingga semalam, seramai 10,235,759 atau 43.7 peratus populasi negara berumur 18 tahun ke atas atau 44.7 peratus daripada penduduk dewasa yang telah mendapatkan dos lengkap sudah menerima dos penggalak.

“Antara manfaat yang boleh diperolehi daripada penerimaan dos penggalak ialah mengelakkan berlaku peningkatan semula kes dan kemasukan ke hospital sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara terbeban.

“Melindungi penduduk daripada ancaman varian baharu termasuk varian Delta dan varian Omicron dengan dos penggalak boleh meningkatkan tahap imuniti terhadap jangkitan varian Omicron sehingga 70 peratus berbanding mereka yang tidak menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, memandangkan risiko jangkitan Covid-19 boleh dikurangkan dengan dos penggalak, KKM juga telah menjalankan semakan semula tempoh kuarantin untuk pengembara dari luar negara.

Katanya, berdasarkan penilaian risiko itu, tempoh kuarantin pengembara yang telah mengambil dos penggalak telah dikurangkan daripada tujuh kepada lima hari.

“Keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada kumpulan berisiko tinggi dan kumpulan rentan seperti anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang kurang upaya serta individu dengan komorbid.

“Sehingga semalam, peratus liputan dos penggalak dalam kalangan mereka ini menunjukkan kadar liputan yang rendah,” katanya.

Berhubung penurunan imuniti atau waning immunity selepas penerimaan vaksin dalam tempoh masa tertentu, Dr. Noor Hisham berkata, ia adalah perkara lazim berlaku pada kebanyakan penerima vaksin termasuk vaksin Covid-19.

Jelas beliau, daripada pemantauan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di Malaysia, penurunan imuniti sebanyak 20 peratus berlaku kepada individu yang mengambil dos lengkap, manakala penerima vaksin Sinovac, berlaku penurunan imuniti 40 peratus selepas tiga hingga lima bulan menerima dos kedua.

Katanya, pelbagai kajian dari Israel, United Kingdom dan Chile mendapati terdapat penurunan tahap neutralising antibody kepada virus Covid-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap.

“Ini menyebabkan risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 meningkat terutama bagi kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, dos penggalak Covid-19 perlu diberikan selepas beberapa tempoh tertentu untuk memastikan imuniti diperolehi kekal pada tahap optimum. – MalaysiaGazette