Anggota bomba memberi bantuan pernafasan kecemasan kepada seorang lelaki yang terkena serangan jantung.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terputus dua selepas melanggar tiang papan tanda dan pembahagi jalan di Lebuhraya MRR2 dari Tesco Ampang menghala ke Bulatan Cheras, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi hari ini, mangsa yang memandu kereta Honda Civic terbabas sebelum tercampak daripada kereta ke atas jalan raya.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, mangsa yang berusia 40-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Honda Civic telah tercampak ke atas jalan raya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bahagian terputus yang terputus itu dilaporkan telah dilanggar kereta Produa Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki.

Bagaimanapun pemandu kereta itu hilang dari tempat kejadian, dipercayai telah membuat laporan polis.

Sementara itu, seorang lelaki berumur 40-an yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya akibat kemalangan tersebut mengalami serangan jantung.

Anggota bomba yang berada di tempat kejadian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada lelaki itu sebelum menghantarnya ke Hospital Ampang untuk rawatan susulan.

Beliau kemudian disahkan pihak hospital selamat selepas menerima rawatan susulan.-MalaysiaGazette