UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Meskipun UMNO Johor berdepan dengan pelbagai versi kritikan daripada parti pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) kerana membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini namun semuanya itu adalah ‘drama politik’ semata-mata.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tidak seiring dengan realiti sebenar yang berlaku lantaran itu pihak-pihak terlibat berusaha keras memburuk-buruk imej UMNO dan mewujudkan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu demi menutup kelemahan sendiri.

Hakikatnya, baik parti pembangkang mahupun PN, sebenarnya tahu tindak-tanduk mereka sepanjang Johor di bawah pentadbiran Datuk Hasni Mohammad sejak 28 Februari 2020.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau berasa jelik dengan kenyataan parti pembangkang dan PN yang masing-masing umpama menegakkan benang yang basah kononnya selama ini memberi kerjasama kepada Hasni, tapi realitinya hanya Allah sahaja yang tahu.

“Macam-macam berlaku dan apa yang boleh saya katakan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Hasni tidak boleh bergantung kepada ihsan dan ugutan mereka untuk terus mentadbir negeri Johor.

“Ini kerana Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh Hasni bukan sahaja berdiri atas nama parti, lebih daripada itu Hasni memerlukan sokongan kukuh untuk mentadbir dan mengelola sebuah negeri yang menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta ekonominya perlu digerakkan sepantas yang boleh.

“Atas dasar ini, pembubaran DUN adalah tepat. Kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin bagi menerajui Johor selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Di sebalik pelbagai dakwaan dan tohmahan terhadap UMNO ekoran pembubaran Dun, Nur Jazlan yakin rakyat bijak menilai pencapaian PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang pernah mengemudi Kerajaan Negeri Johor selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Ke-14.

Katanya, rakyat Johor melalui sendiri pengalaman semasa negeri itu dipimpin oleh Allahyarham Datuk Osman Sapian (12 Mei 2018 hingga 14 April 2019) dan kemudian Datuk Dr Sahruddin Jamal (14 April 2019 – 28 Februari 2020).

Dua tahun berganti dengan dua menteri besar adalah bukti yang cukup jelas ketidakmampuan kerajaan Pakatan Harapan dan pemimpin PPBM untuk mentadbir apatah lagi membawa Negeri Johor pada tahap yang sepatutnya.

“Apa yang pasti sepanjang tempoh itu Johor rugi dalam banyak perkara. Bila Johor rugi, sudah tentu yang terjejas adalah rakyat. Jadi, sampai bila nak biar keadaan jadi macam ni.

“Bila dua tahun bertukar menteri besar bermakna negeri tidak stabil. Tahap produktiviti Johor jatuh pada kedudukan kelapan.

”Bila tidak stabil pelabur mana nak datang Johor? Sedangkan Johor memiliki segala-galanya yang pelabur perlukan. Siapa yang rugi?

“Lantaran itu, PRN adalah terbaik buat rakyat Johor, waima apa pun dakwaan dan tohamah yang dilemparkan pembangkang, juga PPBM. Bagi UMNO Johor, rakyat berhak memilih kepimpinan Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya.

Namun, Nur Jazlan percaya dan yakin, rakyat akan mengembalikan mandat kepada UMNO dan BN berdasarkan trek rekod 60 tahun pemerintahan lalu.

Berikutan itu, katanya, UMNO kini hanya fokus untuk mendapat mandat kukuh daripada rakyat bagi mengembalikan kegemilangan semula negeri Johor yang diraih sebelum PRU14.

“Bagi UMNO, jika mandat kukuh, usaha-usaha membangunkan negeri dan merancakkan ekonomi boleh dilaksanakan dengan cepat. Kesannya limpahannya adalah untuk rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette