Gambar bendera orang asal Australia. Foto- ttps://www.flickr.com/photos/djackmanson/374930628

SYDNEY – Kerajaan Australia telah mencapai perjanjian membelanjakan AS$14 juta untuk membeli hak cipta bendera orang asal di negara berkenaan seterusnya menamatkan perdebatan berpanjangan mengenai kegunaannya.

Perdana Menterinya, Scott Morrison berkata, kerajaannya telah ‘membebaskan’ bendera orang asal untuk warga Australia.

Perjanjian itu muncul daripada rundingan dengan pencipta bendera orang asal berkenaan, Harold Thomas yang mereka bentuk bendera itu pada tahun 1971.

Sepanjang 50 tahun lalu, bendera telah menjadi simbol protes dan perayaan yang penting bagi orang pribumi di negara berkenaan.

Bagaimanapun terdapat perdebatan tentang penggunaan awam dan reka bentuk Thomas selepas artis itu memberikan lesen kepada syarikat untuk menggunakannya pada produk mereka.

Salah satu syarikat terbabit, WAM Clothing menghantar surat kepada banyak organisasi termasuk Liga Bola Sepak Australia supaya menghentikan penggunaan bendera yang sama pada pakaian pemain bola sepak.

“Saya berharap ia memberikan keselesaan kepada semua orang asal dan warga Australia untuk menggunakan bendera tanpa diubah dan tanpa sekatan,” kata Thomas mengenai perjanjiannya dengan kerajaan Australia.

“Saya bersyukur kerana seni saya dihargai oleh begitu banyak orang dan ia telah mewakili sesuatu yang sangat berkuasa kepada ramai orang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga berkata, perjanjian itu bermakna bendera itu kini boleh digunakan pada pakaian, kawasan sukan, karya seni dan dalam mana-mana medium lain tanpa perlu meminta kebenaran atau membayar yuran.

Perjanjian itu juga akan menyaksikan kerajaan Australia menyediakan biasiswa bernilai AS$100,000 untuk pelajar Orang Asli sebagai menghormati Thomas. – CNA NEWS-https://www.channelnewsasia.com/world/australia-buys-rights-aboriginal-flag-ending-long-dispute-2457171