NEW DELHI – Mahkamah India akhirnya membebaskan Shilpa Shetty daripada tuduhan melakukan kelucahan 15 tahun lalu selepas bintang Bollywood itu dicium di atas pentas oleh pelakon Richard Gere.
Rakaman pada tahun 2007 menunjukkan bintang Hollywood itu secara spontan mencium tangan Shetty sebelum memeluk dan mencium pipi Shetty semasa acara kesedaran Aids di New Delhi.
Pertuduhan itu baru sahaja diputuskan “tidak berasas”, dengan mahkamah mengatakan dia menjadi mangsa pada keadaan yang tidak diingini.
Insiden ciuman itu mencetuskan bantahan oleh kumpulan radikal Hindu yang menganggapnya sebagai penghinaan terhadap nilai-nilai India.
Bercium di khalayak ramai dianggap oleh sesetengah orang di India sebagai tabu.
Gere kemudian memohon maaf sambil mempertahankan tindakannya itu bagi menunjukkan ciuman adalah tindakan selamat yang tidak boleh membawa kepada penularan HIV.
Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Gere berhubung insiden itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung India tidak lama kemudian dengan menolak dakwaan terhadap selebriti itu sebagai “publisiti murahan”.
Tetapi baru minggu lepas pertuduhan terhadap Shetty untuk insiden yang sama telah ditolak di Mumbai.
Pasukan undang-undang bintang Bollywood itu berhujah adalah tidak adil bagi Shetty dianggap sebagai “pelaku” kerana tidak cukup membantah terhadap ciuman itu pada masa itu.
Setakat ini Shetty belum mengeluarkan sebarang kenyataan. – The Guardian (https://www.theguardian.com/film/2022/jan/25/indian-court-clears-shilpa-shetty-of-2007-obscenity-charges)