Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Esok akan bermula harga siling bagi ayam segar iaitu RM8.90 sekilogram.

Biar pun pengguna boleh menarik nafas lega kerana tidak lagi mencecah RM10 sekilogram tetapi harga baharu ini dikatakan boleh ‘membunuh’ peniaga kecil.

Seorang pengusaha ayam, Mohd Firdaus Mat Saad berkata, harga baharu itu tidak membantu malah menutup periuk nasi peniaga kecil-kecilan.

“Rasanya dalam sebulan dua lagi, akan ramai peniaga ayam kecil kecilan terutama bangsa Melayu  yang akan ‘meninggal’. Puncanya adalah margin untung mereka tidak banyak. Dalam RM1 sahaja bagi seekor ayam.

“Sekarang ni, nak dapat stok ayam pun mereka sudah susah.

“Kalaulah dapat ayam 200 ekor. Secara kasar, untung bersih adalah RM200. Tapi nak upah proses lagi, nak bayar gaji pekerja lagi. Tolak pi tolak mai, tak ke mana,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Jelasnya lagi, keuntungan yang diperoleh peniaga juga tidak seberapa.

“Hendak berhenti berniaga pun tak boleh, sebab kalau berhenti nanti pelanggan akan ambil ayam daripada orang lain. Kasihan mereka. Sejujurnya, saya sangat bersimpati.

“Risau jika mereka tak mampu nak tampung kos operasi lagi lepas ni,” katanya.

Senarai harga baharu yang ditunjukkan di Facebooknya hari ini.

Jelasnya, harga baharu yang menekan peniaga kecil khususnya peniaga Melayu kerana ada kaum lain yang memonopoli harga ayam di pasaran.

“Dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kerajaan mungkin tidak mampu bertahan dengan tekanan penternak yang mahu naikkan ayam.

“Pada waktu tu, perniagaan ayam berbangsa Melayu kecil-kecilan tadi mungkin dah ‘meninggal dunia’. Apa akan jadi, peniaga ayam bangsa lain yang bertahan akan monopoli bisnes ini.

“Tidak percaya tak mengapa. Tunggu saja nanti. We will see. Sekarang ni, kerajaan buat harga syiling untuk ayam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus turut mencadangkan peniaga ayam ini menjual ayam mengikut bahagian-bahagian.

“Jual ayam secara bahagian kerana ia tak ada kawalan. Jadi potong ayam siap-siap, bahagi ikut bahagian, kemudian jual paha harga lain, dada harga lain, thigh harga lain.

“Dengan cara ini, peniaga boleh bernafas lagi,” katanya.

Katanya, masih ada pihak yang tidak tahu tekanan yang dihadapi peniaga ayam pada masa ini.

“Mereka sebenarnya bayar harga lebih dari yang ditulis di Delivery Order (DO) mereka. Contohnya, peniaga ini beli pada harga RM8.20 tapi dalam DO tulis RM7.90 sahaja bagi mematuhi kawalan harga ayam.

“Kasihan mereka. Tak beli harga ni pun tak boleh. Pemborong tak hantar ayam pada mereka. Tapi, inilah dunianya.

“Asam garam, sepak terajang dalam permainan ayam. Ayam ni makanan asasi rakyat Malaysia. Sumber protien tertinggi dan termurah di Malaysia,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, dalam tempoh beberapa bulan lagi, harga ayam akan naik.

“Kerajaan pasti akan kalah dengan penternak. Sekarang ini, lepas kerajaan turunkan lagi harga ayam, penternak sedang perlahankan lagi kemasukan anak ayam.

“Subsidi dedak kononnya nak dibagi tak tahu punca lagi caranya.

“Jika kerajaan gagal uruskan hal ini dengan baik, kita boleh tengok kesannya dalam tempoh dua bulan daripada sekarang,” katanya.

Awal minggu ini, mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan memutuskan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan RM9.10 sekarang menjadi RM8.90.

Selain ayam,  mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut  memutuskan harga telur ayam semua gred kekal mengikut harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Pelaksanaan kedua-dua harga tersebut bermula 5 Februari sehingga 5 Jun depan. Kerajaan juga akan memberikan subsidi bagi memastikan harga ayam dan telur kekal mengikut SHMKM.

Perincian subsidi akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil. – MalaysiaGazette