Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (kanan) selepas sidang media khas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diadakan dengan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) memandangkan varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk seperti Delta.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan SOP kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

“Tetapi dengan SOP yang akan diumumkan kelak yang sudah pun dimuktamadkan drafnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi tadi,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu menurut Khairy, bagi isu kluster sekolah, pihaknya sentiasa berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) memandangkan tidak ada kes kategori empat atau lima dan sebahagian besarnya adalah gejala ringan.

Ujar beliau, pihaknya meminta penilaian risiko terus dibuat di peringkat sekolah dan jika ada keperluan, mereka yang positif perlu diasingkan.

“Kedua, kita minta kelas ditutup, bukannya sekolah ditutup…itu perkara terakhir yang akan dibuat sebab kesan jika anak-anak kita tidak dibenarkan sekolah adalah sangat besar, dari segi pembesaran mereka daripada segi pembangunan sama ada intelek atau sahsiah mereka, sangat terkesan.

“Kita adalah antara negara yang tutup sekolah paling lama, jadi dengan adanya 90 peratus daripada remaja kita divaksinasi, 90 peratus lebih guru kita divaksinasi dan selepas ini kanak-kanak divaksinasi, apa yang boleh kita buat.

“Kalau kita minta mereka balik untuk belajar di rumah, kita akan patah balik dan tiada kemajuan daripada segi pendidikan kanak-kanak,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk, pihaknya akan berbincang dengan KPM kerana kluster berkenaan meningkat disebabkan banyak kluster ada di sekolah berasrama.

Tambah beliau, apa yang berlaku ialah apabila pelajar kembali ke asrama, mereka tidak menjaga penjagaan kendiri dan ia sudah dimaklumkan kepada KPM.

Ujarnya, ia termasuk pengabaian dari segi pemakaian pelitup muka, pengudaraan dalam bilik darjah dan kebersihan.

“Saya turut minta KPM senaraikan guru yang belum dapat dos penggalak,” tegasnya. – MalaysiaGazette