Datuk Kamarudin Md Din. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Dua ahli perniagaan terpaksa berputih mata selepas terpedaya dalam urusan pembelian kit ujian pengesanan Covid-19 berjumlah RM710,000 yang tidak wujud.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, sejak penularan wabak Covid-19, terdapat permintaan yang tinggi untuk mendapatkan kit ujian dan fenomena tersebut telah mencetuskan modus operandi penipuan pembelian.

Katanya, sebanyak dua laporan polis diterima membabitkan kes tersebut di Selangor.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan Covid-19 dari syarikat pengeluar di China.

“Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima sementara mangsa terus membuat semakan dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang ramai khususnya golongan peniaga untuk sentiasa berwaspada dan melakukan semakan yang sewajarnya sebelum membuat transaksi pembayaran melibatkan amaun yang besar.

Mohd Kamarudin turut mengingatkan supaya orang ramai jangan terlalu ghairah dengan tawaran harga yang murah kerana dikhuatiri ia sekadar taktik untuk memperdaya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette