Fakharuddin Mohd Ariff (tengah) mendengar taklimat projek pembinaan 270 menara di bawah Pelan JENDELA di Pahang semasa Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan JENDELA Negeri Pahang di sebuah hotel, semalam.

KUANTAN – Sebanyak 191 lagi menara telekomunikasi baharu mula dibina di Pahang pada tahun ini bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 270 menara dibina di bawah fasa 1.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Mohd Ariff berkata Pahang meneruskan agenda meluaskan dan menambah baik perkhidmatan internet dan telekomunikasi.

Jelas Fakharudin, usaha Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang telah menambah sebanyak 28 menara pada tahun 2020 berbanding 51 menara dibina pada 2021.

“Tujuh syarikat dilantik kerajaan dalam pelaksanaan yang dibahagikan kepada dua peringkat kerja pembinaan infrastruktur menara dan aksesorinya serta penyediaan peralatan elektronik dan penyediaan rangkaian perkhidmatan.

“Syarikat yang terlibat ialah Edotco, Theta, Felda FGV Prodata, Baycomm, Celcom, Digi dan juga U Mobile dan semua menara ini dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun 2022,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, inisiatif lain dibawah JENDELA di Pahang yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf 902 stesen pemancar, melengkapkan 118,260 premis dengan rangkaian gentian optik dan menyediakan internet jalur lebar dengan teknologi satelit di 69 Kampung Orang Asli.

Melalui pelaksanaan JENDELA, kadar liputan 4G di Pahang terus meningkat apabila semua inisiatif JENDELA siap pada penghujung tahun 2022.

Beliau berkata, tanah milik kerajaan negeri adalah digunakan bagi melancarkan proses perolehan tapak dan kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya pembinaan menara lebih mudah dan cepat. – MalaysiaGazette