Boris Johnson

LONDON – Semua baki sekatan undang-undang Covid-19 telah dihapuskan dari United Kingdom (UK), selepas hampir dua tahun peraturan pertama diperkenalkan.

Kini, orang ramai tidak lagi diwajibkan untuk mengasingkan diri atau isolasi kendiri jika mereka disahkan positif Covid-19 – walaupun masih dinasihatkan untuk berbuat demikian.

Perubahan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan Perdana Menteri, Boris Johnson, Living with Covid Plan, sebuah inisiatif peralihan kembali kepada normal.

Namun, ada sesetengah pihak mendakwa rancangan tersebut gagal melindungi mereka yang dikatakan paling terdedah.

Semua sekatan undang-undang membendung virus tersebut telah ditarik balik di Ireland Utara–Wales dan Scotland sedang melonggarkan undang-undang tersebut secara beransur-ansur.

Peraturan Covid-19 pertama diperkenalkan pada Mac 2020, yang terdiri daripada perintah tinggal di rumah, sekatan perjalanan, dan penutupan kawasan awam seperti sekolah, kedai, dan restoran.

Pengakhiran sekatan ini juga bermakna kerajaan UK tidak lagi akan membiaya sokongan pengasingan diri untuk mereka yang berpendapatan rendah, turut menamatkan pengesanan hubungan kontak COVID-19 yang dilakukan secara rutin.

Penumpang kenderaan awam juga tidak lagi perlu memakai pelitup muka di dalam bas dan kereta api bawah tanah di London, selepas Kementerian Pengangkutan London (TFL) menggugurkan peraturan tersebut.

Walaupun sekatan tersebut akan ditamatkan di England, ujian percuma akan diteruskan sehingga 1 April – kedua-dua ujian PCR untuk yang mempunyai simptom dan ujian aliran sisi bagi yang tidak bersimptom.

Menurut Timbalan Menteri Pertama Scotland, John Swinney, negara itu berkemungkinan meneruskan ujian Covid-19 secara percuma selepas tarikh penamatan tersebut, manakala Menteri Kesihatan Ireland, Robin Swann berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa untuk membuat keputusan akhir mengenai perkara tersebut. – BBC

(https://www.bbc.com/news/uk-60500287)