Pasukan Pepasangan Talian Atas Grid TNB sedang melakukan kerja-kerja pemasangan wayar pembumian sementara di menara Talian 132kV dari Kuala Terengganu ke Kenyir sebagai persediaan bagi aktiviti pemulihan semula talian 132kV dari Kuala Terengganu ke Chendering.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah-daerah di Terengganu dan Kelantan yang terjejas akibat banjir.’

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, antara keutamaan TNB adalah memulihkan pencawang yang terkesan dan aset lain termasuk  membuat pengujian bagi memastikan keadaan aset-aset ini selamat untuk menyalurkan bekalan.

TNB akan berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin, namun keselamatan awam dan barisan hadapan menjadi keutamaan dalam usaha  membaik pulih bekalan.

”’Warga kerja barisan hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

”Sebagai organisasi yang sentiasa prihatin dengan dugaan dialami rakyat yang sedang diuji dengan bencana, TNB akan segera memberikan semula bekalan, sebaik keadaan mengizinkan dan akan memastikan bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.

”Selain PPS, kami akan memastikan bekalan elektrik yang berterusan ke premis strategik seperti hospital dan balai polis termasuk melalui set jana kuasa mudah alih jika premis berkenaan tidak dapat menerima bekalan daripada pencawang,” ujarnya.

Baharin juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau facebook TNB CareLine jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

Penduduk juga diingatkan sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.

”Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette